Kuala Lumpur: Pelakon Reen Rahim, 34, mendedahkan keluarganya meminta senaskhah al-Quran yang sudah dikhatamkan oleh bakal suami, Mr H, 28, sebagai salah satu hantaran yang akan dibawa pada hari pernikahan nanti.

Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim berkata, hantaran senaskhah Al-Quran itu disuarakan oleh ibunya ketika majlis pertunangan pada 12 Ogos lalu.

“Selain hantaran Al-Quran yang perlu dikhatamkan oleh Mr H dalam tempoh kami bertunang, satu set barangan kemas juga diminta sebagai hantaran.

“Kenapa umi (ibu) minta hantaran  Al Quran untuk saya kerana dia berasakan anaknya tidak ternilai. Umi betul-betul mahukan orang dipilih itu boleh menghargai anaknya dan berharap dengan al-Quran dapat menjentik banyak kebaikan dalam hati pasangan saya.

“Saya suka dengan permintaan umi kerana ia bagaikan doa yang kuat daripadanya untuk saya. Hanya kepada Allah saja, yang saya boleh minta segalanya dalam kehidupan ini,” katanya.

Mengulas juga kriteria yang membuat dia terpikat dengan Mr H, pelakon drama Pergilah Air Mata ini berkata, calon suaminya itu matang walaupun jarak usia mereka berbeza enam tahun.

“Ciri paling penting adalah Mr H mempunyai pengalaman menjadi ‘pengasuh’ kerana saya seperti kanak-kanak riang. Tiada lagi lelaki yang boleh tahan dan jinakkan saya, sebelum dia.

“Dari situ saya sudah menghormatinya. Walaupun saya wanita berdikari, tetapi masih memerlukan seseorang yang boleh mengawal saya,” katanya.

Reen juga menjelaskan kenapa dia agak berahsia identiti Mr H buat masa ini, kerana tidak mahu memberi ruang untuk orang lain atau netizen memperkatakan benda-benda kurang baik. Umpamanya, pilih Reen Rahim yang seksi itu?

“Saya sebenarnya tidak mahu perkara-perkara seperti penampilan dipersoalkan. Apa yang mereka katakan itu amat pedih. Jadi, saya tidak mahu perasaan keluarga kami terganggu.

“Saya juga memilih Mr H kerana nak hidup gembira dengannya. Saya percaya kebanyakan wanita yang ingin berumah tangga, lebih menginginkan hidup yang ‘happy’ (gembira) berbanding kewangan dan harta semata-mata,” katanya.

Reen dan Mr H yang dijangka akan bernikah dalam waktu terdekat ini, difahamkan menerima tajaan perkahwinan sebanyak RM15 juta untuk tiga majlis mereka iaitu malam berinai, acara pernikahan dan resepsi pasangan pengantin.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *