Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegur sikap segelintir peminat dalam kalangan Sitizoners supaya berhenti membanding-bandingkan serta mempertikai cara dirinya bekerja.
Siti berkata, kejayaan demi kejayaan yang dimiliki adalah berkat usaha dan kerja keras setiap individu yang menjadi tulang belakangnya.
“Sekali sekala perlu saya ingatkan kepada Sitizoners (kelab peminat) yang saya sayangi dan juga yang menyamar di sebalik nama Sitizoners. Rasanya tak perlu untuk bandingkan cara saya bekerja dalam dunia hiburan dan bisnes sangatlah berbeza. Pasukan juga berbeza.
“Alhamdullillah, kerana pasukan Siti Nurhaliza Productions (SNP) saya bertahan sampai sekarang dengan cara dan stratergi yang kami buat. Begitu juga dengan produk saya,” katanya,
Menerusi ciapan di Twitter, Siti berharap tiada pihak yang cuba memperlekeh kerja pasukannya kerana setiap kuputusan akhir adalah ditangannya.
“Jadi saya harap jangan mudah menjatuhkan dan memperlekehkan kerja insan yang sudah bertungkus-lumus menjaga reputasi dan kerja saya.
“Keputusan akhir semua di tangan saya dalam setiap kerja yang dibuat. Terima kasih bagi yang sentiasa memahami. Yang baik dari Allah, yang buruk dari kita sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, Siti menjelaskan ciapan di Twitter terbabit ditulis sendiri olehnya bukan ‘admin’ atau wakil tertentu.
kreadit : Harian Metro