Selain Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen, pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil, 44, mengakui bintang veteran Ahmad Yatim, 82, banyak membimbingnya pada pembabitan awal dalam bidang lakonan.

Jika Razak menggilap bakat lakonannya daripada penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke layar lebar, Ahmad Yatim pula membentuk dirinya sebagai pelakon yang mempunyai ideologi.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dalam tempoh 25 tahun perjalanan karier seni, saya ditemukan dengan mereka yang hebat dalam industri seni dan banyak membentuk diri saya hari ini,” katanya.

Menurut Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, dia mula menjadi anak murid Ahmad Yatim ketika beliau menjadi pensyarahnya dalam ‘Advanced Acting’ (Lakonan Lanjutan) di Fakulti Seni Persembahan, UiTM Shah Alam.

“Saya mula menjadi anak murid Ahmad Yatim ketika beliau menjadi pensyarah, bermula dari peringkat diploma hingga ijazah.

“Kali pertama bertemu dengannya, hati saya bergetar kerana dia mempunyai karisma dan aura sangat kuat. Sebab itu bila bercakap dengannya, beliau jarang tengok mata kita,” katanya.

FARID pernah berganding dengan Erra dalam filem Tujuh Perhentian.
FARID pernah berganding dengan Erra dalam filem Tujuh Perhentian.

Berkongsi pengalaman sukar dilupakan, kata Farid, dia pernah ditengking dan dimalukan Ahmad Yatim depan orang ramai ketika mula terbabit dalam bidang lakonan.

“Saya masih ingat, ketika itu saya mahu belanja beliau makan kali pertama di sebuah restoran kerana menghargainya sebagai guru lakonan.

“Masa kami tengah makan di restoran yang dipenuhi orang ramai, tiba-tiba beliau bangun dan menengking saya (dalam loghat Kedah).

“Hang tau dak hang ni bodoh dan hang ni dungu! Hang kalau nak jadi hero, cuba hang tengok Brad Pitt, hang tengok Shah Rukh Khan, itu baru hero, hang ni bodoh dengan jerawat kiri, kanan. Hang jangan mengaku aku cikgu hang la!’,” katanya.

Sebagai pelajar, Farid mengakui dia tidak menyangka akan dimalukan oleh Ahmad Yatim di hadapan orang ramai di mana separuh daripada mereka mengenalinya sebagai pelakon.

“Saya tidak jangka beliau akan malukan saya sebegitu. Saya hanya diam sahaja, tetapi air mata sudah mengalir sambil bercakap dalam hati, ‘saya sudah berganding dengan Erra Fazira dan watak utama dalam Filem Tujuh Perhentian kot?’.

“Saya pun letak burger yang nak dimakan dan terus cakap, ‘Tak pa Cik Mat (panggilan Ahmad Yatim), saya bodoh, dungu’ Tapi dalam hati kecil saya berkata, ‘saya akan jadi hero nombor satu di Malaysia kelak,” katanya.

Bagaimanapun, kata Farid, dia hanya memahami apa yang dimaksudkan bintang legenda itu selepas lima hingga 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Selepas lima hingga 10 tahun baru saya faham kenapa dia ‘brainwash’ saya sebegitu. Saya faham apa yang beliau maksudkan kerana bukan mudah untuk menempa nama seperti Shah Rukh Khan atau Brad Pitt.

“Untuk menjadi aktor yang hebat, kita perlu menjadi pelakon yang berilmu dan berpendidikan tinggi serta tahu apa yang dilakukan,” katanya.

Pada masa sama, kata Farid, dia juga dapat menggunakan khidmat Ahmad Yatim yang juga bintang filem mega Abang pada 1981 itu sebagai ‘acting coach’nya, baru-baru ini.

“Ketika beliau malukan saya dulu, saya baru beraksi dalam filem pertama, kini saya kembali bertemu dengannya selepas berlakon dalam lebih 80 filem.

“Saya mengambilnya untuk mengajar saya lakonan kerana sudah mampu bayar ‘feesnya’ untuk mengajar saya sebanyak 20 kelas.

“Beliau juga sudah kehilangan deria penglihatannya, tetapi beliau mengajar saya dengan menggunakan mata hatinya,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *