PERSATUAN Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan strategik, Loonaq Records dan komuniti media sosial bagi komposer, pengkarya serta penyanyi muzik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), Awangliku Channel mengambil bahagian secara aktif dalam BudayaVerse 2025 baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Dewan Sri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya ini adalah sebuah acara pertemuan seni, budaya, teknologi dan inovasi digital.
IRAMA diwakili oleh Timbalan Presiden mereka, Othman Mahmud, manakala Loonaq Records diwakili oleh Nur Fitrah Arbai’yah, dan komuniti Awangliku Channel diwakili oleh pencetusnya, Hamdan Ani.
Othman berkata, sepanjang penganjuran, booth AIMXCHANGE menerima kunjungan menggalakkan daripada ramai pengunjung yang berminat mendalami berkenaan AI.
“Mereka membabitkan pencipta kandungan, komposer muzik AI, penyanyi dan peminat industri kreatif yang hadir untuk mendapatkan penerangan lanjut serta memuat naik (upload) karya lagu AI mereka secara langsung.
“Sambutan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap penciptaan dan kolaborasi muzik berasaskan teknologi AI dalam kalangan komuniti tempatan,” katanya.
Penyertaan bersama semua gabungan ini menandakan komitmen berterusan organisasi dan komuniti kreatif untuk membangunkan ekosistem muzik digital yang lebih inklusif dan mampan.
Komuniti Awangliku Channel pula mempunyai pengikut dan penggiat kreatif dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak, dengan pembabitan rakan strategik seperti Halim Bataq Arts (Sabah) dan channel TikTok pakmaun (Sarawak).

Mereka turut menjalin kolaborasi bersama rakan kreatif dari Indonesia di bawah payung Studio Media Maju Malaysia, sekali gus memperkukuh jaringan kreatif serantau.
Sementara itu, dalam sesi perkongsian (talk) di BudayaVerse 2025, pengasas AIMXCHANGE yang juga Setiausaha IRAMA, Rozman Abas, menekankan perubahan landskap industri muzik global yang semakin dipacu oleh teknologi AI.
Rozman turut menggariskan keperluan mewujudkan platform komuniti yang berstruktur bagi melindungi kepentingan pencipta, memperkukuh dokumentasi karya, serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada komposer dan pengkarya muzik AI tempatan.
“AIMXCHANGE berperanan sebagai platform yang menghimpunkan pencipta muzik AI, menyediakan ruang kolaborasi antara bakat manusia dan teknologi, serta menjadi jambatan antara komuniti, label bebas dan industri muzik arus perdana.
“Kerjasama tiga pihak ini mencerminkan aspirasi bersama untuk membina ekosistem muzik digital Malaysia yang progresif, berteraskan komuniti dan berdaya saing di peringkat serantau serta antarabangsa,” katanya.
AIMXCHANGE diperkenalkan sebagai inisiatif awal industri untuk menghimpunkan komuniti pencipta muzik AI, mendokumentasikan amalan penciptaan sebenar, serta memulakan dialog berstruktur berkaitan isu hak cipta, hak moral dan pengiktirafan pencipta dalam era muzik digital baharu.
Langkah ini selaras dengan saranan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang menyeru agar industri kreatif menilai keperluan penyesuaian undang-undang hak cipta sejajar dengan perkembangan teknologi AI.