Kuala Lumpur: Penyanyi remaja, Zaki Yamani, 19, menyifatkan peluangnya bergelar pelakon adalah rezeki tidak diduga termasuk pengalaman baharu selain aktif menyanyi.
Zaki atau nama sebenar, Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah berkata, peluang berlaku amat diimpikan, namun memilih filem Tiket Sehala arahan Rahila Ali meskipun pernah menerima lima tawaran sebelum ini.
“Saya pernah ditanya wartawan sebelum ini tak mahu berlakon ke? Keinginan itu (berlakon) memang ada dan Alhamdulillah sekarang sudah ada rezekinya dan peluang.
“Apatah lagi, terbabit dalam lakonan adalah pengalaman baharu dan saya sudah bersedia mencuba sebaik mungkin,” katanya yang kini sibuk di set penggambaran iklan komersil sehingga 2 Disember ini.
Menurut Zaki, bidang nyanyian semestinya sudah sebati dengan dirinya apabila dia melancarkan lagu duet, Aku Ada bersama penyanyi Puteri Dahlia pada awal September lalu.
Sementara itu pengurus Zaki yang juga ibunya, Fatimatuzahra Samat berkata, penggambaran filem Tiket Sehala sudah bermula, tetapi kini Zaki terbabit dengan penggambaran iklan komersil.
“Ikut jadual, penggambaran iklan komersil Zaki akan berakhir pada 2 Disember ini dan buat masa ini dia agak sibuk di set iklan itu.
“Penggambaran filem (Tiket Sehala) memang sudah bermula dan pada Disember ini juga penggambaran akan disambung semula di Korea Selatan,” katanya.
Zaki adalah anak kedua Jamal daripada tujuh beradik, hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Fatimatuzahra pada Disember 2005 sebelum mereka bercerai pada 15 Mei 2007.