Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid UNIC bakal meraikan lebih dua dekad perjalanan seni mereka menerusi konsert istimewa This Is UNIC: Live In Concert yang akan berlangsung pada 20 Disember ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert itu menjadi penanda dua dekad perjuangan UNIC dalam dunia muzik dakwah serta konsert solo penuh pertama mereka selepas kembali bersatu dengan barisan terkini iaitu Bazli Hazwan, Dr Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.

“Selepas lebih dua dekad, inilah masa untuk kami meraikan perjalanan panjang ini bersama peminat. Kami mahu kembalikan semangat nasyid ke pentas besar dan membuktikan muzik dakwah masih relevan,” kata Bazli.

Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, Nursyaqif Aimer pula, berkata konsert itu diadakan bagi mengiktiraf perjuangan UNIC dalam menyebarkan mesej dakwah melalui muzik.

“This Is UNIC bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis dan peminat,” katanya.

Tiket untuk konsert berkenaan akan mula dijual pada 17 Oktober ini menerusi laman sesawang ticket2u dengan harga bermula daripada RM89 hingga RM249 mengikut kategori tempat duduk.

Konsert berkenaan turut menjanjikan gabungan persembahan lagu-lagu ikonik UNIC seperti Demi Cinta Suci, Hanya Tuhan Yang Tahu dan Ainul Mardhiah dengan susunan muzik baharu, selain penampilan beberapa artis jemputan istimewa.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *