JIKA bidang nyanyian membuatkan Joey Daud, 52, akur harus berhadapan pelbagai dugaan, pembabitannya dalam komedi pula adalah fasa kebangkitan karier.
Malah, ketika ini Joey cukup dikenali ramai dalam kalangan peminat dengan perkataan bernuansa ‘m’ diucapkannya seperti ‘wamwamsam’ yang lucu dan menghiburkan hati.
“Bila saya masuk dalam bidang komedi memang rasa disayangi. Saya rasa macam saya rapat betul dengan orang (peminat).
“Pergaulan saya dengan orang bila di luar juga macam kita dah berkawan 10 tahun, 20 tahun,” katanya.
Ditanya karya komedi yang mengangkat namanya dalam lakonan, Joey atau Zulkifli Daud berkata, ia cerita sempena hari raya, Aidilfitri Di Bulan Syaaban pada 2008.
“Tapi pembikinan cerita ini pengarahnya Along Kamaludin. Penulis skripnya pula, Allahyarham Martias Ali yang gigih cari saya.
“Sebab cerita itu dia (arwah Martias) buat khas untuk saya. Bila penulis skrip jumpa ‘personally’, bermakna dia melihat hasil kerja kita dan ia buat saya bersemangat.
“Jadi, selepas cerita itu (Aidilfitri Di Bulan Syaaban) meletup, berdering-dering (dapat panggilan) tanpa henti orang sukakan saya dengan bahan komedi,” katanya.
Berbicara mengenai perkataan wamwamsam yang kini disifatkan menjadi ‘trademark’ dirinya, anak jati Johor ini memaklumkan ia datang menerusi berkawan.
“Mungkin benda-benda, perkataan wamwamsam apa semua itu mungkin atas bacaan kita berkawan. Pada saya, berkawan ini ilmu.
‘Macam tengok cara kita duduk. Awak duduk begitu, dia pula duduk macam ini. Jadi, saya akan pinjam duduk yang mana boleh digunakan. Itulah berkawan,” katanya.
Ditanya juga jolokan ‘master of comedy’ oleh peminatnya, Joey berkata, ia benda yang boleh dinobatkan daripada mata-mata orang.
“Sekiranya benda itu diberikan kepada saya (jolokan ‘master of comedy’), Masya-Allah saya sangat bersyukur.
“Malah, yang penting apa saya buat itu (komedi) diterima dan beri manfaat. Ialah apa lagi yang kita kena buat,”katanya.
Menurut Joey, dia cuba buat sebaik mungkin untuk karier seninya kerana percaya suatu hari nanti akan ditanyakan semula di hadapan Yang Maha Esa.
Joey yang sudah 30 tahun membina aktif dalam industri hiburan sejak 1992, berbakat dalam lakonan, melawak, penyanyi, pencipta lagu, pengacara dan pelukis.