KUALA LUMPUR: Keadaan pelawak veteran, Ebby Yus, 60, yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman sejak 10 hari lalu, semakin pulih.

Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 60, berkata dia sudah boleh berjalan dan menguruskan diri, berbanding sebelum ini perlu bergantung kepada bantuan jururawat.

“Alhamdulillah, saya sudah kembali sihat, boleh berjalan dan uruskan diri. Saya dimasukkan ke hospital kerana mengalami kesakitan pada tempat dialisis, iaitu pada bahagian perut hingga jadi serba tak kena.

“Setiap kali berbaring, mengereng dan duduk, saya rasa sakit.

“Selepas dirawat di hospital, barulah rasa sakit itu hilang. Selepas ini, saya perlu lebih berhat-hati lagi apabila menjalani dialisis air di rumah.

“Mungkin saya nak cepat hingga mengabaikan tujuh langkah penting yang perlu dititik beratkan sebelum menjalani rawatan dialisis di rumah,” katanya kepada BH Online.

Ebby berkata, mengikut prosedur dia perlu memastikan kebersihan tangan dan tidak memakai baju sama ketika dialisis.

Ebby yang sudah lebih setahun tidak berlakon mengakui rindu untuk beraksi di depan kamera. Namun, dia terpaksa akur dengan keadaan kesihatan.

Ebby berkata, setiap hari, dia perlu menjalani tiga sesi dialisis iaitu pada jam 6 pagi, 6 petang dan 10 malam, iaitu selama 40 minit setiap sesi.

Enggan menyusahkan sesiapa membuatkan Ebby menolak sebarang tawaran lakonan.

“Saya masih terima tawaran. Namun, dengan keadaan saya yang terpaksa menjalani dialisis tiga kali sehari, agak sukar untuk kembali berlakon,” katanya.

Ebby mengaku berhasrat untuk bersara daripada dunia lakonan.

“Namun, mungkin darah seni sudah lama mengalir dalam badan, saya serba salah.

“Insya-Allah, jika ada modal, saya teringin memiliki sebuah karavan yang diubah suai menjadi tempat dialisis bergerak.

“Jadi, jika ada tawaran lakonan, tidak perlulah saya terkejar-kejar balik ke rumah. Saya kena kumpul modal sebelum impian itu tercapai,” katanya.

Ebby bagaimanapun bersyukur, walaupun tidak lagi berlakon, peluang diberi sahabat baiknya, Ajak untuk menguruskan dua cawangan kedai makan Bumbu Babah di Pasar Seni dan Kampung Baru di ibu negara, sedikit sebanyak meringankan beban kewangan.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada pendapatan. Bolehlah saya bayar rumah dan komitmen lain.

“Rakan-rakan pelawak juga sangat prihatin dengan keadaan kesihatan saya dan banyak membantu,” katanya.

Selain buah pinggang, Ebby mengalami masalah jantung.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *