Kuala Lumpur: Anak sulung penyanyi Ina Naim dan Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Hadie, 17, tekad mahu menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya meskipun mereka membesar tanpa mendapat pendidikan di sekolah.

Hadie atau nama sebenar Ehmad Hadie Elfardie berkata, dia tidak mahu kekurangan daripada aspek pendidikan yang dilalui mereka menjadi halangan untuk berjaya dalam kehidupan serta masa depan.

“Sebenarnya tujuan saya masuk sini (program Talk To My Manager) untuk cuba buat yang terbaik dan nak tunjuk kepada adik-adik walaupun kita tak seberapa, tak pergi ke sekolah macam orang lain tapi kita boleh.

“Insya-Allah, saya percaya kita boleh buat yang terbaik macam orang lain juga. Kita pun boleh berjaya sekiranya berusaha dan berani mencuba,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui baru-baru ini.

Sangat rapat dengan ibunya Ina apabila sentiasa berpelukan, Hadie berkata, ibunya adalah wanita yang sangat baik, sabar, penuh kasih sayang dan bercakap lembut dengan anak-anak.

“Ibu saya seorang yang sangat baik, sentiasa berikan semangat kepada anak-anak dan tidak pernah marah. Ibu juga kalau bercakap lembut sahaja. Jadi, saya nak buat ibu ‘happy’.

“Saya akan berusaha pada persembahan konsert minggu kedua TTMM (Talk To My Manager) nanti dengan lagu Rindu Serindu Rindunya nyanyian asal kumpulan Spoon. Insya Allah,” katanya.

Ditanya juga mengenai dirinya yang dianggap sesuai menceburi lakonan, Hadie berkata, buat masa sekarang dia hanya mahu mengembangkan bakat nyanyian dimiliki.

“Untuk berlakon, rasanya tidak lagi. Saya nak cari peluang kembangkan bakat menyanyi sahaja dulu sebab arwah ayah pun dah didik sejak saya kecil lagi.

“Saya memang tak fikir nak berlakon sebab bukan jiwa. Jadi, teruskan menyokong saya dalam TTMM. Semoga saya berjaya sebagai penyanyi,” ujarnya.

Selain Hadie, tiga lagi adik-beradiknya ialah Salman Elkhoyri, 15, Phyrosh Elfadwah, 13, dan Nur Layla Elghufrony, 11.

Dalam TTMM, seramai lapan peserta bertanding terdiri daripada anak selebriti bersama ibu bapa mereka yang menjadi pengurus.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *