Kisah dunia remaja dan tekanan media sosial diketengahkan dalam drama bersiri sebanyak 12 episod berjudul Putri & Phrince (Secrets at 17) yang mula bersiaran di platform Viu, 21 Ogos lalu.

Diarahkan pelakon yang kini bergelar pengarah, Liyana Jasmay, 37, drama ini turut mendalami emosi dan dilema moral yang menjadi sebahagian daripada kehidupan Gen Z masa kini.

Liyana berkata, kebanyakan karya yang dihasilkan sebanyak 90 peratus berdasarkan sebahagian pengalaman yang pernah dilaluinya sendiri.

“Saya pun pernah melalui zaman remaja dahulu dan mahu kongsi pengalaman dilalui kepada generasi muda menerusi karya dihasilkan,” katanya pada sesi bersama pelakon drama Putri & Phrince di Pavilion Bukit Bintang.

Mengenai drama Putri & Phrince, kata Liyana, dia mendapat idea untuk menghasilkan cerita itu ketika berada di Jakarta sebelum ini.

“Saya bertemu dan berbual dengan seorang remaja yang bukan sahaja kacak, pandai dan berpelajaran tinggi di sana dan di situ tercetus karakter Phrince. Kalau ada ‘Prince’, mesti ada putrinya.

“Saya juga menyukai kisah remaja sebab masa kecil dan membesar dulu jarang ada siri atau filem tempatan yang berkisarkan remaja. Jadi, saya hanya tonton siri dari Amerika dan idola saya juga dari sana.

“Jadi, saya mahukan remaja kita menjadikan pelakon kita sebagai idola kerana remaja zaman sekarang boleh tonton cerita remaja yang sangat dekat dengan mereka seperti buli siber, gadis popular di sekolah, cinta pertama, putus cinta, kawan baik, pengkhianatan dan persahabatan yang utuh,” katanya.

Ditanya pemilihan pelakon baharu dalam drama bersiri itu, kata Liyana, dia memilih untuk mengetengahkan wajah baharu dalam karyanya.

“Kalau kita tak didik macam mana pelakon baharu nak ke depan.

“Barisan pelakon baharu yang dipilih ini selalu kena maki dengan saya di set kalau tak pandai berlakon.

“Saya suka yang pelakon serius dan minat mahu berlakon dan jangan datang hanya untuk mencari populariti,” katanya.

Berkongsi pemilihan pelakon baharu Badron Munirah selaku watak utama dalam drama itu, kata Liyana, dia juga menggantikan pelakon yang menarik diri pada saat akhir.

“Saya anggap ia rezeki kerana Badron beritahu dia serius mahu berlakon dalam drama bersiri ini.

“Badron juga beritahu dia sanggup terima makian dan kena marah dengan saya demi untuk sahut cabaran dalam drama ini.

“Ini adalah projek drama kedua lakonannya dan saya nampak kesungguhannya dalam lakonan itu,” katanya.

Drama Putri & Phrince turut menampilkan barisan pelakon baharu seperti Nesa Idrus, Fara Nadiah, Nik Rifaie, Khayrishah Kemal, Farihin Arnia dan Adriana Adnan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *