Sanggup meninggalkan kampung halamannya di Ranau, Sabah dan berpindah ke Kuala Lumpur demi cipta nama dalam industri muzik arus perdana, Fanzi Ruji, 37, terus mara dalam karier seninya.
Terbaru, Fanzi atau nama sebenarnya Mohd Rifanzi Ruji melancarkan sebuah karya yang baginya cukup besar makna secara peribadi. Lagu berjudul Berharap itu adalah titik penting dalam profilnya.
Mana tidak, buat julung kali dia mempertaruhkan lagu yang diciptanya sendiri dan lebih istimewa, Berharap dipilih menjadi lagu runut bunyi (OST) drama Michael Ang berjudul Kerana Seorang Lelaki.
Walaupun masih terlalu awal untuk berangan, Fanzi menaruh hasrat besar agar lagu itu mampu mencapai tahap tertinggi dalam kariernya. Angan besarnya tidak lain ke acara berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Saya doakan kepada semua untuk menyokong single Berharap ini dan semoga ia berjaya masuk ke acara besar termasuk AJL. Sebab itu antara impian saya dalam industri seni.
“Kalau tidak dapat masuk ke peringkat akhir, mara ke separuh akhir pun sudah memadai,” katanya yang tidak pernah berputus asa melonjakkan namanya ke depan lagi.
Penyanyi naungan MLE Records Talents ini amat bertuah memiliki pasukan hebat dalam proses penghasilan Berharap. Mereka termasuk Reza Ramsey atau Bajai sebagai komposer bersama, Nurul Najwa (lirik) dan Afif Tirmizie (penata vokal).
Menurutnya, keseluruhan proses siap sepenuhnya pada Februari lalu. Bagaimanapun, lagu ini ‘disimpan’ dulu sehinggalah drama Kerana Seorang Lelaki ditayangkan.
“Kami benar-benar ambil masa bagi memastikan setiap aspek seperti susunan vokal, emosi dan penyampaian berada pada tahap terbaik.
“Bagi saya, antara momen paling menyeronokkan adalah sewaktu sesi cipta melodi dan struktur lagu bersama Bajai. Saya banyak belajar mengenai proses penciptaan lagu daripada beliau.
“Selain itu, sewaktu rakaman vokal, saya amat bertuah bekerjasama dengan Afif yang sangat membantu dari segi mendapatkan ‘feel’ dan teknik vokal tepat agar penyampaiannya betul-betul sampai kepada pendengar,” katanya.
Fanzi turut zahirkan rasa terharu apabila Berharap jadi OST drama Michael. Dia sifatkan ia satu penghargaan besar, apatah lagi dirinya masih baharu dalam dunia penciptaan lagu.
“Saya memang terkejut dan tak sangka apabila dimaklumkan bahawa Michael berminat menjadikan Berharap sebagai OST dramanya. Perasaan saya ketika itu sangat teruja dan bersyukur.
“Ini kerana, pencapaian ini satu peluang yang saya anggap cukup istimewa, terutama bagi penyanyi baharu seperti saya. Ia memberi keyakinan untuk saya terus berkarya,” katanya.
Walaupun sentiasa bersemangat, perjalanan Fanzi untuk menembusi pasaran arus perdana bukanlah mudah. Dia mengakui pernah beberapa kali hampir berputus asa mengejar impian untuk dikenali ramai.
Perasaan kecewa itu timbul apabila lagu dihasilkan dengan penuh harapan gagal mendapat sambutan. Menurutnya, situasi terbabit sedikit sebanyak melemahkan semangatnya.
“Sejujurnya, saya sudah lama menyanyi tetapi belum mendapat pendedahan yang secukupnya di arus perdana. Kadang-kadang bila kita hasilkan lagu, kita harap ia akan tular, tetapi sebaliknya yang berlaku.
“Waktu-waktu macam itulah yang membuatkan saya rasa nak berputus asa. Tetapi saya akan kembali kepada sebab utama saya menyanyi, iaitu kerana ia adalah minat saya.
“Perkara itu yang membangkitkan semula semangat saya untuk tidak menyerah,” katanya.
Menyorot kembara seni Fanzi, dia adalah bukti penyanyi yang tidak pernah putus asa atau semangat membina nama besar. Apa saja pertandingan hebat yang tidak pernah disertainya?
Pemenang cabaran TikTok anjuran komposer Amerika Syarikat, David Michael Frank pada 2021 itu turut mencuba nasib dalam All Together Now Malaysia (ATNM), Calpis Soda One in a Million (CSOIAM), Raise The Star dan lain-lain.
Fanzi mengimpikan untuk terus terbang tinggi di arena muzik Malaysia. Menerusi Berharap, dia mahukannya jadi titik pemula fasa terindah buatnya sebagai penyanyi arus perdana.