Kuala Lumpur: Penyanyi, Hafiz Suip, 35, mengesahkan dia sudah bercerai talak satu dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip berkata, dia juga memberi hak penjagaan anak-anak kepada bekas isteri buat masa ini kerana selayaknya mereka lebih bagus berada bersama Nureffy.

“Secara rasminya saya sudah bercerai talak satu dengan isteri pada 29 Mei lalu. Anak-anak di bawah jagaan bekas isteri. Secara rasionalnya, sudah tentu kalau saya berada dalam situasi ini, saya akan pilih ibu saya.

“Saya rasa ibulah pilihan tepat untuk mengambil penjagaan anak-anak. Kalau kita nak lawan pasal hak ini sampai bila pun tak habis,” katanya di sidang media konsertnya di Bienz, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Penyanyi Awan Nano itu bagaimanapun bersyukur perceraian mereka berlaku dalam keadaan baik. Mereka tetap mengekalkan silaturahim terutama mengenai anak-anak.

Baginya, dia tidak perlu merumitkan keadaan dan mencapai sepakat yang terbaik dalam hak penjagaan itu.

“Sekarang saya dan bekas isteri masih dalam proses perbincangan urusan anak-anak. Contohnya macam mana saya nak berjumpa dengan mereka sama ada sebulan sekali saya akan ke Kuala Lumpur.

“Tipulah kalau kata saya tak ingat anak, setiap hari saya fikirkan anak-anak, nak hubungi mereka tetapi mereka juga perlu bersekolah dan ada jadual sendiri. Saya tak mahu menimbulkan masalah.

“Cukuplah turun naik mahkamah untuk urusan penceraian. Penat,” katanya yang kini menetap di Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, Hafiz mengakui ujian rumah tangga itu takdir yang cukup memberi pengajaran untuknya jadikan peringatan besar untuknya. Tiada penyesalan pun dalam dirinya.

“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Semua ini adalah pengajaran dan pengalaman. Ia juga satu takdir, kita hanya perlu jalani kehidupan seterusnya. Jangan saling menyalahkan kerana hati kita tidak akan rasa tenang.

“Dalam Islam juga ada mengajar kalau nak rasa tenang kita kena berdamai dengan takdir. Nasihat saya kalau nak kahwin, kena fikir masak-masak dan bersikap matang,” katanya.

Hafiz mendirikan rumah tangga dengan Nureffy pada 14 Mei 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhamamd Alkaf Zayne, 5.

Dalam perkembangan lain, Hafiz bakal mengadakan konsert solonya berjudul Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Live in Concert pada 1 November nanti, bertempat di Mega Star Arena, di sini.

Konsert terbabit anjuran SAH Entertainment Malaysia dan jualan tiketnya bermula hari ini menerusi platform Ticketmelon.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *