Petaling Jaya: Penerbit, Richard Ung menganjurkan tayangan khas filem genre aksi Felai Fx yang dibintangi pelakon popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 69, di samping menyalurkan sumbangan buat Dharma yang kini berdepan kesusahan.
Richard berkata, majlis itu lebih kepada untuk membantu mengumpul sumbangan buat Dharma yang berdepan kesempitan hidup dan bukannya untuk menjual filem Felai Fx.
“Secara kebetulan, Dharma dan anaknya, Muhammad Al Syafiq turut berlakon dalam filem Felai Fx yang menjalani penggambaran tahun lalu.
“Dharma pegang watak ketua gangster dalam filem yang memaparkan kisah ‘scammer’ dalam pelaburan forex dan perniagaan perjudian dalam talian ini.
“Dharma juga masih sihat dan tegap ketika itu dan tidak kurus seperti sekarang,” katanya ditemui di di Panggung 1, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini.
Menurut Richard, Dharma juga memerlukan kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 untuk membayar tunggakan sewa rumah dan kos sara hidup bersama dua anaknya ketika ini.
“Saya tidak dapat berkongsi jumlah sumbangan disalurkan pada majlis tayangan khas ini. Apa saya boleh beritahu, sumbangan itu cukup untuk bawa Dharma keluar dari kemelut dihadapi sekarang.
“Ia termasuk membayar tunggakan sewa rumah dan kos sara hidup dalam tempoh tiga bulan sehingga anaknya menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai Felai Fx pula, Richard berkata masih belum ada tarikh ditetapkan untuk tayangan filem arahan Zamri Zakaria itu memasuki pawagam.
“Saya putuskan buat tayangan khas filem ini terlebih dulu khusus untuk membantu Dharma dan dua anaknya terlebih dahulu. Semoga dua anaknya tidak lagi mendapat kecaman dari netizen kerana tidak bekerja selepas ini.
“Saya berharap sumbangan kewangan yang diberikan itu dapat mengurangkan beban untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Dharma dan anaknya Syafiq turut hadir pada tayangan khas berkenaan.