Salam Baitullah 2025, yang kini memasuki musim ke-17, tampil lebih segar dan inovatif dengan memperkenalkan penggunaan teknologi hologram serta kecerdasan buatan (AI) dalam kandungannya.

Program terbitan RTM bakal menjanjikan pengalaman tontonan lebih interaktif, mendalam dan imersif terutama bagi menarik perhatian golongan muda.

Penerbitnya, Mohamed Shahril Sarapudin, berkata pihaknya mahu memanfaatkan perkembangan teknologi dengan kelainan ditampilkan musim ini bagi menarik penonton muda.

“Dengan penggunaan teknologi AI yang semakin meluas, kami fikir ia perlu dimanfaatkan dalam program ini. Bagi segmen Rehlah Haramain yang berkisar pengembaraan sirah nabi, kita guna AI.

“Sebelum ini, sukar hendak gambarkan suasana di zaman nabi. Dengan adanya teknologi AI, lebih mudah untuk kita paparkan apa yang berlaku ketika itu,” katanya pada majlis pelancaran Salam Baitullah 2025 baru-baru ini.

Kata Mohamed Shahril lagi, pihaknya memperuntukkan kira-kira enam bulan untuk menyiapkan elemen AI dalam program itu.

“Kami melakukannya dengan teliti dan bekerja rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan tidak berlaku kesilapan fakta.

“Sebagai penerbit, saya perlu semak dengan teliti, bukan sahaja daripada sudut fizikal, malah, visual kerana bimbang jika kita sampaikan mesej yang salah kepada penonton,” katanya.

Mohamed Shahril berkata, segmen Rehlah Harmain adalah gabungan realiti dan AI di mana penonton dibawa mengimbas semula zaman nabi yang dihasilkan menggunakan teknologi AI.

“Paparan visual zaman nabi jarang dilaksanakan dalam bentuk visual dan penceritaan. Jadi, dengan penggunaan teknologi AI, penonton akan dapat lihat semua itu.

“JAKIM jadi ‘gatekeeper’ dalam memantau visual, skrip dan ayat al-Quran digunakan untuk pastikan maklumat disampaikan tepat,” ujarnya.

Sebagai tambahan kepada siaran utama, RTM memperkenalkan segmen baharu, iaitu Podcast Salam Baitullah 2025 yang disiarkan setiap hari pada jam 7.45 hingga 8.30 malam melalui media sosial RTM, mulai Sabtu ini.

Salam Baitullah 2025 dibarisi tiga pengacara berwibawa iaitu Ustaz Fakhrul Radhi dan Ustaz Jalal Zaiki yang akan membawakan pengisian berbentuk ilmiah dan rohani dalam segmen utama, manakala Zizi Kirana pula tampil sebagai pengacara Podcast Salam Baitullah 2025 dengan gaya santai, segar dan kontemporari.

Program yang bakal disiarkan dari Masjid Putra, Putrajaya ini dijangka menarik lebih 2 juta penonton setiap malam di pelbagai platform RTM.

Sebanyak tujuh segmen utama disusun secara rapi untuk menambah kepelbagaian dalam penerbitan kandungan program termasuklah Al-Bayan, Rehlah Haramain, Muslim World, Khabar Tanah Suci, Duyufurrahman, Hikmah Al-Hajj dan Selingan Rohani.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *