Kuala Lumpur : Bekas suami kepada Adira, Datuk Adnan Abu atau Red pernah mencanang mahu memujuk penyanyi Ombak Rindu itu kembali ke pangkuannya selepas bercerai, tahun lalu.
Reaksi Adira seakan-akan bersetuju dengan lamaran bekas suaminya, apatah lagi, perceraian berlaku secara baik.
Namun, Adira memberitahu belum ada berita gembira untuk dikongsikan dalam satu majlis, baru-baru ini. Ini sekali gus menimbulkan kekeliruan apakah pendirian ibu beranak empat itu.
Mengulas seolah-olah membuat ‘u-turn’, sedangkan sebelum ini memberi harapan mahu rujuk kembali dengan Datuk Red, Adira berkata, ramai orang salah faham.
“Apabila orang tanya ada berita gembira, jadi saya jawab, buat masa sekarang belum ada dan tak tahu bila.
“Seperti kita sedia maklum, bekas suami kini sedang dibelenggu dengan krisis kewangan. Jadi, saya mahu biarkan dia selesaikan masalahnya terlebih dahulu, doakan semoga dia dapat selesaikan semuanya,” katanya.
Diusik adakah sudah memberi masa mencukupi, namun tidak nampak perubahan, Adira menafikannya.
“Tidak, bukan sebab itu. Datuk Red ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan, jadi saya beri masa buatnya.
“Alhamdulillah, hubungan kami masih okay. Sebenarnya, saya tidak meletakkan apa-apa kriteria atau syarat untuk kembali ke pangkuannya.
“Sekarang, saya tak berani cakap lebih-lebih, tapi jujurnya, saya selesa dengan kehidupan solo,” katanya.
Tambah Adira, dia hanya nak jaga hubungan baik bersama bekas suami. Namun, berharap hubungan kekal baik jika ditakdirkan tidak bersatu semula.
“Kami ada anak-anak yang perlu diberikan perhatian, jadi saya sangat pentingkan hubungan baik ini,” katanya.
“Bagaimanapun, Adira menyangkal gosip melengahkan hasrat kembali rujuk disebabkan sudah mempunyai seseorang yang istimewa.
“Susah nak cakap, mungkin buat masa ini, belum terbuka hati lagi. Setakat ini, saya tak pernah sunyi atau ada rasa kekurangan kerana mungkin sistem sokongan kuat.
“Setakat ini, memang tiada sesiapa mendekati saya. Mungkin kerana saya juga tidak membuka ruang. Benda ini senang sahaja, kalau tak melayan maka takkan menjadi.
“Jika ada yang nak mendekati, syarat saya perlulah terima anak-anak terlebih dahulu. Kemudiannya, barulah saya pertimbangkan,” katanya.