Sepang: Pelakon dan pelawak, Along Cham kecewa dengan tindakan isterinya, Afreena Suhaimi yang didakwa tidak jujur sehingga menyebabkan proses perceraian mereka terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata, isterinya menafikan berlaku lafaz rujuk antara mereka, sedangkan perkara itu benar-benar berlaku.
“Dia sendiri yang sebelum ini mahu percepatkan kes, tetapi bila di hadapan hakim, dia pula tak mengaku. Akibatnya, kes jadi semakin berpanjangan.
“Dia sedar apa yang dilakukan. Sepatutnya dia jujur saja supaya semuanya selesai hari ini. Disebabkan dia enggan mengakui adanya rujuk, kes ini perlu dibicarakan semula. Itu yang sangat mengecewakan saya.
“Saya pernah merujuk semula pada Jun tahun lalu. Tapi selepas itu, dia sekali lagi menipu. Mana saya tak marah? Sebab itu lafaz taklik berlaku, tapi dia tetap tak mahu akui sampai sekarang,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Menurut Along, dia berharap kes ini dapat diselesaikan segera kerana tidak mahu terus berdepan kecaman netizen dan pelbagai spekulasi.
“Saya memang nak selesaikan hari ini juga. Bila ia berlarutan, terlalu banyak spekulasi timbul dan saya terpaksa hadapi pelbagai kecaman.
“Banyak perkara yang dia cuba putar belit. Saya masih berpegang bahawa kami suami isteri yang sah. Kalau saya benar-benar kejam, sudah lama saya ambil pelbagai tindakan.
“Tapi disebabkan nasihat daripada peguam, saya pilih untuk ikut saluran yang betul dan tunggu proses mahkamah,” katanya.
Ketika prosiding pagi tadi, Hakim Syarie iaitu Muhammad Nazri Basrawi menetapkan kes pengesahan lafaz cerai taklik pasangan terbabit ditunda pada 1 dan 3 Julai depan.
Pada 10 Mac lalu, Muhamad Nazri mengarahkan Along supaya melantik peguam syarie bagi memudahkan urusan dokumen yang difailkan Along.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya.