Kuala Lumpur: Penyanyi dari Brunei, Aziz Harun, 27, membuat keputusan menetap di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu kerana sukar menjalankan aktiviti seni secara aktif di sana.
Aziz berkata, keputusan itu juga memudahkan dia untuk berhubung dengan rakan-rakan media dan industri apabila dapat bertemu secara bersemuka.
“Sebelum ini segala urusan dilakukan melalui Zoom atau panggilan video WhatsApp. Ia kurang efisyen untuk saya Saya juga tak perlu berulang-alik dari Brunei ke Kuala Lumpur lagi.
“Saya juga rasa lebih mudah untuk berhubung dengan rakan-rakan media dan industri apabila dapat bertemu secara bersemuka.
“Inilah antara sebab utama saya membuat keputusan untuk menetap sepenuhnya di Malaysia,” katanya.
Penyanyi lagu Ketipak Ketipung Raya ini mengakui tidak berasa ‘homesick’ terhadap kampung halaman walaupun sudah lama berjauhan daripada keluarga.
“Saya tak rasa ‘homesick’ sebab perjalanan ke Brunei pun cuma ambil masa sekitar dua jam lebih saja. Lagi pun, keluarga saya pun kerap datang bercuti dan melawat saya di Kuala Lumpur.
“Cuma bila tiba Hari Raya, saya memang wajib balik ke sana. Kalau tidak, memang kena halau dari rumah” katanya sambil ketawa.
Menurut Aziz, sejak berpindah ke Malaysia, perjalanan seninya menjadi lebih lancar dan muziknya berkembang dengan baik.
“Alhamdulillah, sejak saya tamat pengajian dan memperoleh visa, saya dapat fokus sepenuhnya di studio untuk terus berkarya.
“Lagu Ketipak Ketipung Raya mendapat sambutan, begitu juga Janji dan beberapa kerjasama termasuk bersama Aisha Retno dan artis-artis lain. Aliran momentum itu memang terasa sejak kebelakangan ini.
“Untuk kerjasama seterusnya dengan Aishah Retno, masih belum ada perancangan khusus. In-sya Allah mungkin akan ada. Buat masa ini, saya lebih memberi tumpuan kepada pelancaran lagu-lagu solo terlebih dulu,” katanya.
Aziz menyifatkan keputusannya untuk berpindah ke Malaysia sebagai langkah yang membawa impak positif dan membuka lebih banyak ruang untuk perkembangan kerjayanya dalam industri muzik.
“Keputusan saya untuk berpindah ke Malaysia memang memberi kesan yang 100 peratus positif. Saya sayang Malaysia.
“Tinggal di sini amat menginspirasikan kerana dikelilingi oleh artis-artis berbakat, berkongsi ruang kreatif di studio yang sama dan berpeluang bertukar-tukar idea.
“Suasananya sangat positif dan mendorong saya untuk terus berkarya dengan lebih semangat,” katanya.
Aziz berkata, dia sepatutnya mengadakan ‘showcase’ pada tahun lalu, namun terpaksa menundanya akibat kekangan masa dan disebabkan jadual padat tahun ini, perancangan itu dijangka akan direalisasikan pada awal tahun hadapan.