Kuala Lumpur : Kemesraan pasangan artis popular Indonesia Wulan Guritno dan Ariel Noah bagaikan bukan lagi rahsia buat peminat.
Malah peminat mereka seolah-olah memberi restu akan perhubungan dua pasangan ideal itu hinggakan berdoa kedua-duanya berjodoh serta gembira melihat gelagat mereka.
Wulan dan Ariel berterusan menjadi bualan hangat apabila kemesraan mereka menimbulkan spekulasi wujudnya hubungan istimewa antara kedua-duanya.
Situasi ini mula menjadi perhatian apabila Ariel, atau nama sebenarnya Nazril Irham, dilihat menghadiri tayangan gala filem Norma: Antara Mertua dan Menantu lakonan Wulan Guritno baru-baru ini.
Malah, kedua-duanya turut duduk bersebelahan di dalam panggung bagi menonton filem arahan Guntur Soeharjanto itu.
Menurut InsertLive, Ariel juga dilaporkan tidak keberatan berkongsi pandangannya mengenai filem berkenaan.
Melihat keakraban mereka, ramai di kalangan peminat menyifatkan mereka sebagai pasangan serasi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa buat pasangan itu.
“Semoga Ariel dan Wulan berjodohan, Amin,” komen netizen.
“Saya setuju jika Ariel dan Wulan berjodohan,” tulis seorang wargamaya.
“Kacak, cantik dan bujang, keduanya sama padan. Semoga berjodohan,” komen pengguna media sosial.
Menurut laporan Popbela.com, Ariel menegaskan bahawa dia lebih selesa menjaga privasi dan merasakan tidak semua perkara perlu dikongsikan kepada umum.
Baginya, setiap individu berhak mempunyai ruang peribadi masing-masing.
Sehingga kini, Wulan dan Ariel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai spekulasi hubungan mereka yang tular di media sosial.
Wulan dan Ariel masing-masing pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini namun perkahwinan mereka tidak berkekalan.