KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Bogor, Indonesia, Reza Rahadian, 33, sering memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke kolej.

Justeru, kesempatan memainkan watak pelajar kolej menerusi filem terbaharu, Layla Majnun disifatkan sebagai satu peluang menghidupkan impiannya.

“Saya mengimpikan belajar di kolej, tetapi kesempatan saya berbeza dengan orang lain. Jadi, apabila mendapat karakter sebagai penuntut kolej dalam dalam filem Layla Majnun, ia digunakan sepenuhnya bagi mengisi impian yang pernah diharapkan dalam hidup.

“Saya gunakan imaginasi untuk mengembalikan mimpi saya. Dan, nyata saya seronok menjayakan watak pelajar Azerbaijan bersama produksi arahan Monty Tiwa ini,” katanya ketika ditemubual secara virtual, baru-baru ini.DISYORKAN UNTUK ANDA

Katanya, cabaran utamanya adalah proses pembelajaran bahasa Azerbaijan.

“Perkara paling sukar belajar bahasa Azerbaijan. Saya tidak hanya berdialog, tetapi perlu mengetahui dialek memandangkan saya membawa karakter pemuda Azerbaijan.

“Bagaimanapun, saya bertuah kerana proses pembelajaran dipermudahkan oleh teman pelajar yang juga rakyat Indonesia. Kami berbincang mengenai skrip, bahasa, dialek dan dialog. Kami juga ditemani pelajar Azerbaijan yang belajar mengenai bahasa Indonesia,” katanya.

Bintang utama filem Layla Majnun, Reza Rahadian dan Acha Septriasa. - Foto IG Reza Rahadian
Bintang utama filem Layla Majnun, Reza Rahadian dan Acha Septriasa. – Foto IG Reza Rahadian

Reza menghidupkan watak Samir, pemuda Azerbaijan yang jatuh cinta pada gadis Indonesia, Layla lakonan Acha Septriasa. Diinspirasikan kisah legenda Layla dan Majnun, filem berkenaan turut dibintangi Baim Wong, Uli Herdinansyah, Dian Nitami, Landung Simatupang, Beby Tsabina, August Melasz dan Natasha Rizki.

Tambah Reza, dia optimis terhadap filem yang menjalani penggambaran di Azerbaijan penghujung 2019 itu mampu menghiburkan penonton seluruh dunia, memandangkan mereka sendiri seronok sepanjang pembikinannya.

“Kami menimba banyak pengalaman ketika menjalani penggambaran filem Layla Majnun di Azerbaijan. Layla Majnun adalah kisah cinta yang jujur dan mungkin terjadi kepada sesiapa dan bila-bila sahaja,” katanya.

Filem Layla Majnun adalah karya ketiga gandingan Reza dan Acha selepas filem T​est Pack: You’re My Baby​ pada 2012 dan The Strawberry Surprise (2014).

Layla Majnun ditayangkan secara global di platform Netflix sejak 11 Februari lalu.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *