Sejak beberapa minggu ini, industri hiburan hangat membicarakan kisah ‘buli’ membabitkan pelakon senior dan pelakon junior di set penggambaran yang didedahkan sudah lama berlaku.

Malah, pelakon baharu dikenali Aniq Durar, 31, mengakui pernah menangis di set penggambaran drama dibintanginya selepas menerima teguran pelakon senior terhadap aksi lakonan dipersembahkan.

“Saya pernah menangis di set penggambaran selepas ditegur seorang pelakon senior kerana lakonan saya. Sebagai bakat baharu, saya lihat teguran dibuat itu positif dan bersebab.

“Ini kerana, ada silap saya juga sebab kurang faham kehendak watak, lontaran dialog mungkin tidak betul dan sebab itu saya ditegur. Cuma, saya menangis masa itu kerana terlalu sedih,” katanya.

Aniq atau nama sebenarnya Awangku Aniq Durar Pengiran Malyx berkata, dia bagaimanapun tidak menganggap teguran pedas itu sebagai buli, apatah lagi menuding kesalahan kepada orang lain.

TIMBA pengalaman dengan memegang apa saja watak sebanyak mungkin. FOTO Ahmad Ukasyah
TIMBA pengalaman dengan memegang apa saja watak sebanyak mungkin. FOTO Ahmad Ukasyah

“Sebenarnya, selepas terima teguran itu saya banyak belajar dalam memperbaiki mutu lakonan. Syukur Alhamdulillah, sekarang persembahan lakonan saya ada peningkatan.

“Jadi, saya lihat ada baiknya teguran itu. Tapi, tak adalah sampai terfikir kena buli. Apapun, pada saya cara pembawakan diri kita di set juga harus diambil kira. Kena faham situasi,” katanya.

Baharu beberapa tahun aktif berlakon, pemuda kacukan asal Sarawak ini berkata, dia juga mulanya berhadapan masalah tidak fasih bertutur bahasa Melayu, namun kini sudah semakin baik.

“Mula-mula berlakon dulu, saya memang ada kesukaran

cakap bahasa Melayu. Saya tidak fasih dan kalau bercakap pun ada ‘slang’ bahasa Inggeris dan dialek Sarawak.

“Tapi, saya nekad kena belajar juga dan sekarang penguasaan bahasa Melayu saya semakin baik. Saya percaya, kalau kita berusaha pasti mendapat hasilnya dan sekarang pun saya terus belajar,” katanya.

Ditanya mengenai watak impian, Aniq berkata, masih jauh untuk dia mencapainya dan cukup dulu ‘go with the flow’ untuk menimba pengalaman apa saja watak sebanyak mungkin.

“Kalau mengenai watak, saya tidak memilih. Apabila tawaran watak itu didapati sesuai dan saya mampu lakonkan, okaylah. Bagi saya, biar kita belajar perlahan-lahan dan tidak perlu memaksa diri.

“Saya berhasrat ingin lama bertahan dalam karier lakonan ini. Jadi, untuk itu wajar bagi saya memantapkan dulu mutu lakonan,” katanya.

Aniq yang membintangi filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz tahun lalu, hingga kini sudah berlakon lima drama dan terbaharu, Luruhnya Bunga Cinta 2 yang disiarkan slot Akasia TV3.

Selain Aniq, drama popular arahan Riza Baharudin itu dibintangi pelakon terkenal tanah air antaranya Redza Rosli, Tracie Sinidol, Bella Hanna, Auni Yusri, Nabila Razali dan ramai lagi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *