AKIM tidak bersetuju apabila nyanyian penyanyi senior dikritik hanya kerana satu persembahan dibawakan.

PENYANYI berpengalaman sering kali menjadi sasaran kritikan, terutama apabila persembahan mereka tidak menepati jangkaan sesetengah pihak.

Kritikan sebegini, meskipun lazim, kadangkala tidak adil terhadap sumbangan besar yang mereka berikan kepada industri seni.

Sehubungan itu, penyanyi kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad menyuarakan rasa kurang setuju terhadap kritikan yang diterima Datuk Amy Search berikutan persembahannya di konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Akim nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, Amy yang disifatkan sebagai seorang legenda dalam dunia muzik sudah banyak berjasa dan menghasilkan sumbangan besar sepanjang kerjayanya yang cemerlang.

Justeru, Akim berasa kritikan negatif terhadap Amy hanya disebabkan penampilan vokalnya yang kurang memuaskan dalam satu persembahan tertentu adalah tidak wajar.

Menurut Akim, Amy sudah lama menabur bakti dalam industri seni dan usaha kerasnya tidak boleh dipandang remeh.

“Melihat keadaan ini, sudah tentu saya sedih. Namun, sebagai anak seni, kita harus akur bahawa kritikan adalah sebahagian daripada perjalanan karier, tidak kira siapa kita.

“Walau macam mana pun, saya tetap meletakkan dia (Amy) pada satu tahap yang lain sebab apa yang pernah dia lakukan dulu.

“Kalau diikutkan, saya pun belum sampai tahap apa yang dia pernah buat waktu dia muda dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Akim turut menyentuh soal peningkatan usia sebagai faktor utama perubahan dalam tenaga dan stamina, yang tidak dapat dielakkan oleh mana-mana penyanyi.

“Apabila usia meningkat, sesiapa pun akan merasai perbezaan dari segi tenaga dan stamina, termasuk saya yang baru mencecah usia 33 tahun,” katanya.

Dia sendiri merasakan perubahan itu dan memahami bahawa ia sebahagian daripada proses peningkatan usia.

Akim juga yakin Amy sudah sedaya-upaya melakukan yang terbaik dalam persembahan terbabit dan sebagai pendengar dan peminat, kita harus lebih memahami dan melihat dari pelbagai sudut sebelum memberikan kritikan yang mungkin tidak adil.

“Kita semua manusia, bukan robot. Kadangkala kelemahan akan muncul, lebih-lebih lagi sebagai anak seni yang sentiasa menghadapi cabaran.

“Meskipun saya masih muda, ada kalanya nyanyian saya juga tidak sempurna, seperti sesekali ‘pancit’ atau kurang bertenaga,” katanya.

Sebagai langkah menjaga kualiti vokalnya, Akim berkongsi bahawa dia sudah berhenti merokok demi mengekalkan kesihatan dan stamina untuk persembahan masa depan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah menyedari betapa pentingnya menjaga suara untuk memastikan dia dapat terus memberikan persembahan terbaik.

“Pengorbanan ini perlu dilakukan untuk masa depan saya sebagai penyanyi. Ia bukan sahaja tentang prestasi sekarang, tetapi juga tentang mengekalkan kualiti vokal dalam jangka masa panjang,” katanya.

Source :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *