Khairy Jamaluddin memenangi trofi bagi kategori Penyampai Radio Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Auditorium MBSA, Shah Alam. FOTO TEAM ABPBH

Shah Alam:  Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ, menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 malam ini.

Kejayaan itu menyaksikan KJ menewaskan empat lagi finalis iaitu Tyzo, DJ Sonic, Sharifah Shahirah, dan Haiza. 

KJ yang kini berkhidmat sebagai penyampai segmen Bekpes Hot bersama AG, Fara Fauzana dan Johan di stesen radio Hot FM berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam kerjaya sebagai penyampai. 

“Terima kasih kepada keluarga Hot FM serta pengurusan tertinggi di Media Prima Berhad.

“Selain itu, terima kasih juga buat peminat yang mengundi saya,”katanya.

Menurut KJ, dia menyifatkan kemenangannya sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Dalam hidup ini kalau satu pintu rezeki ditutup, Allah SWT akan membuka lebih banyak peluang dan rezeki baharu,” katanya.

 KJ mula membabitkan diri dalam dunia penyiaran radio pada Februari 2023 selepas menerima surat terbuka dari Hot FM melalui Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio.