Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman pada sidang media Festival Asia Pasifik ke 61 ( APFF61) hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Puchong: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang merangka cadangan mewujudkan gerakan Kesatuan Perfileman Asean yang mengambil inspirasi daripada Kesatuan Perfileman Eropah.
Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman berkata, beliau percaya model terbabit mampu meluaskan rangkaian kerjasama antara pembikin filem 11 negara anggota Asean sekali gus dapat menjana keuntungan lebih besar.
“Model yang digunakan di Eropah sudah terbukti berkesan membantu mempererat industri perfileman di sana. Bukan saja perfileman, tetapi juga segala aspek kesenian disatukan di bawah model terbabit.
“Walaupun setiap negara mempunyai bahasa berbeza, tetapi masih boleh menghasilkan naskhah seni dan filem yang berjaya. Saya percaya, kita di bawah Asean yang mempunyai pelbagai keunikan dan kebudayaan juga mampu mengikut jejak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) di sini, hari ini.
Menurut Kamil, Finas juga sedang mengumpul data dan segala maklumat berkaitan untuk dibentangkan pada pihak kerajaan di Persidangan Kemuncak Asean ke-45 yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah tahun depan.
“Proses pengumpulan data sedang dilakukan pihak Finas buat masa ini. Saya juga percaya, acara itu adalah peluang keemasan untuk kita kemukakan cadangan itu.
“Saya juga ada bertemu dengan beberapa penerbit filem dari sekitar Asean dan mereka bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.
Kamil berkata, jika kesatuan itu berhasil pada masa hadapan, ia mampu mengembangkan capaian dari aspek ekonomi dan pemasaran serantau.
“Kita melihat dari segi pertukaran bakat, tenaga produksi, bajet, pemuzik, pengarah dan sebagainya. Selain itu dari segi pemasaran pula, filem kita mampu dipasarkan lagi dengan lebih meluas di negara Asean dan tidak tertumpu cuma dalam negara saja.
“Sebagai contoh, filem Thailand dan Indonesia yang senang dapat dipasarkan dan mendapat sambutan di sini. Jadi saya yakin, kita juga boleh melakukan perkara yang sama di bawah model ini,” katanya.