Kuala Lumpur: Pelakon ‘otai’ berkaliber, Kenji Sawahi, 61, menolak dua tawaran berlakon untuk drama dan telefilem baru-baru ini kerana bayaran yang disifatkannya tidak setimpal iaitu RM300 sehari.

Kenji atau nama sebenarnya, Lim Boon Wah berkata, bayaran rendah untuk pelakon senior masih berlaku lagi sekarang, namun dia tetap mempunyai ‘guideline’ (garis panduan) sendiri mengenai perkara itu.

“Baru-baru ini, ada dua projek lakonan saya tolak iaitu drama dan telefilem. Bahkan, satu daripada projek itu sesi penggambaran dramanya masih berjalan sekarang. Cuma, bagi saya agak teruklah ‘offer’ (tawaran) bayarannya.

“Boleh tak, saya dalam bidang ini (lakonan) sudah 40 tahun, tapi ‘offer’ bayaran saya terima masih RM300 sehari. Tak masuk akal walaupun watak untuk saya itu hanya ‘supporting’ (pembantu).

“Rasa tak masuk akal. Walaupun wataknya kecil, kalau awak panggil saya untuk berlakon sebagai ‘cameo’ pun, sepatutnya kenalah bayar tinggi sedikit sebab kita dipanggil jadi ‘cameo’ itu mesti kerana orang suka.

“Peminat saya masih banyak lagi. Macam ketika saya berlakon drama Dollah Deabak untuk TV3 dulu, orang suka dan ada yang jerit nama saya ketika berjumpa di stesen minyak,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Kenji, kebanyakan peminatnya adalah penonton dewasa dan masyarakat kampung yang sangat menghargai lakonan dipersembahkannya dengan mengakui ia dapat dirasai mereka hingga ke dalam jiwa.

“Cuma, saya dapati bayaran rendah untuk pelakon senior ini terjadi di Malaysia saja. Kalau di negara lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Taiwan dan Hong Kong, tak payah cakap, lagi berumur lagi berharga.

“Sebab pelakon senior ini ada ‘life experience’. Kita yang lakonannya meletop (mantap) itu boleh tengok mesti pelakon yang ‘life experience’ banyak kerana dia boleh ‘polish’ watak dengan baik,” katanya.

Mengakui kecewa dengan situasi berlaku, Kenji berkata, dia tetap berpegang dengan keputusan dibuat, namun masih sedia berbincang dengan pihak produksi sekiranya skrip projek diterima itu bagus.

“Kalau projek lakonannya bagus dengan skrip yang menarik, siapa yang tak nak ‘involve’. Kita bukan tak boleh langsung dibawa berbincang. Itu pun selalu yang saya cakap dengan penerbit.

“Kita (pelakon) boleh saja bertolak ansur (soal bayaran), tapi janganlah menolak saya sampai ke dinding (dengan bayaran terlalu rendah). Itu tak masuk akal,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *