Annyeonghaseyo! Pada Oktober tahun lalu, pelakon, Jang Geun Suk berdepan ujian getir selepas disahkan menghidap kanser tiroid.

Mei lalu, dia menjalani pembedahan dan kini semakin pulih dan masih berehat.

Dalam tempoh itu, dia benar-benar bermuhasabah diri dan enggan tewas dengan emosi. Hakikatnya, dugaan itu memberikannya semangat lebih berkobar untuk mengejar keseronokan hidup.

“Selepas menempuhi penyakit itu, kemudian bila kembali bangkit, saya sedari singkatnya masa yang kita ada. Ironi bukan? Jadi daripada hendak risau, baik saya tak payah risau langsung dan lakukan apa yang saya mahukan,” katanya.

Geun Suk mengambil peluang berkongsi perkembangan terbaharunya itu menerusi sebuah sesi siaran langsung baru-baru ini. Dia mahu menyantuni peminat yang terus tertanya keadaannya sekarang.

Kelihatan agak ceria, dia sempat menjawab pelbagai pertanyaan yang diajukan kepadanya. Dalam pada berehat, katanya dia sempat juga berjalan-jalan baru-baru ini.

“Saya melawat Aomori bersama Ha Suk Jin dan Lim Sung Bin. Lawatan itu sama sekali tidak dirancang. Tapi lawatan itu antara yang paling menyeronokkan pernah saya rasai dalam hidup.

“Saya biasanya tidak gemar sangat percutian ke luar negara. Namun, selepas pembedahan itu, baru saya tahu kenapa ramai orang suka kerap melancong dan bercuti. Tahun ini, saya mahu cuba melancong sendiri pula,” katanya.

Dalam pada itu, Geun Suk juga sempat menitipkan nasihat buat semua yang mengikuti siaran langsung itu.

Menurutnya kehidupan perlu dihargai sebaiknya biarpun ditimpa dugaan atau kesusahan.

Baginya, setiap permasalahan pasti akan ada jalan penyelesaian pada akhirnya. Setiap orang perlu ada keberanian untuk melakukan sesuatu dan sedia terima apa juga natijahnya kelak.

“Kita semua ada penderitaan dan kesulitan dalam hidup. Tapi masa kita dalam hidup tidak cukup untuk resah terhadap hal-hal begitu. Ada kala kita kena berani dan cuba lakukan sesuatu dulu.

“Katakan keputusan kita itu akan bertukar menjadi masalah. Jika ia berlaku, kita akan dapat selesaikan juga masalah itu apabila tiba masanya,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *