KUALA LUMPUR: Tersenarai sebagai calon Top 20 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36 seakan mengimbau semula nostalgia yang pernah dilalui penyanyi Hasif Upin suatu ketika dahulu.

Berkongsi lanjut momen itu, Hasif yang juga personaliti media sosial berkata, pencalonannya ABPBH 36 mengingatkan kembali situasi pernah mengundi artis pujaannya yang bertanding dalam acara anugerah itu.

“Jujurnya, saya rasa macam tak percaya juga bila dicalonkan kerana sebelum ini, saya pernah mengundi artis kegemaran yang bertanding dalam ABPBH.

“Masa itu terdetik dalam hati manalah tahu nama saya pula akan tercalon dalam ABPBH. Nampaknya, apa yang pernah saya terdetik betul-betul berlaku, nama saya sangkut dalam dua kategori.

“Jujurnya, saya terkejut bila dapat tahu mengenai pencalonan awal ini selepas ada yang ‘tagged’ saya dalam media sosial,” katanya kepada BH Online.

Hasif tercalon dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Ziana Zain menerusi lagu Waktu.ADVERTISING

Pencalonan Hasif dalam ABPBH 36 mengingatkan kembali situasi pernah mengundi artis pujaannya yang bertanding dalam anugerah berprestij ini. - Foto NSTP
Pencalonan Hasif dalam ABPBH 36 mengingatkan kembali situasi pernah mengundi artis pujaannya yang bertanding dalam anugerah berprestij ini. – Foto NSTP

Ditanya mengenai peluangnya untuk bergelar finalis, Hasif meletakkan sepenuh harapan kepada kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular yang disifatkan mendapat sokongan kuat daripada peminat.

“Kalau dapat Top 5 saya anggap satu bonus dan jika ditakdirkan menang, itu satu anugerah terindah. Saya melihat dari segi persaingan sihat.

“Calon lain bertanding ramai yang hebat-hebat. Dapat masuk Top 20 pun saya sudah bersyukur.

“Kalau nak ikut potensi, saya rasa lebih kuat kerana Ziana yang menjadi kesayangan saya dan ramai peminat.

“Saya dan peminat Ziana seperti kawan baik. Mereka kalau buat sesuatu kerja memang gempak. Contohnya, ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) lalu.

“Saya mengharapkan untuk ABPBH ini, mereka akan buat perkara yang sama. Selepas ini, syarikat pengurusan akan membuat tindakan susulan sama ada berkempen dan dibantu kelab peminat saya iaitu Hasifnavy,” kongsinya.

Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 dilancarkan semalam mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.

ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.

Mempertandingkan 16 kategori utama, pemilihan artis dan selebriti kegemaran boleh dilakukan bermula hari ini hingga 30 September depan menerusi laman web ABPBH 36 di www.abpbh.com.my.

Manakala undian bagi kategori sampingan, Ekstra! akan bermula pada 29 Ogos ini.

Sebagai penambahbaikan, ABPBH 36 memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Aktor Pembantu Filem Popular; Aktres Pembantu Filem Popular; Aktor Pembantu TV Popular dan Aktres Pembantu TV Popular.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *