Kuala Lumpur: Pelakon Zalif Sidek meminta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menaik taraf sistem dan perkhidmatan yang disediakan di klinik kesihatan dengan segera untuk memastikan keselesaan orang ramai terutama golongan berpendapatan rendah B40.

Zalif berkata, dia berasa kecewa kerana klinik kesihatan kerajaan masih menggunakan sistem perkhidmatan yang lama sedangkan kita sudah berada pada tahun 2024.

“Saya bukan sesuka hati nak marah atau kecam mana-mana pihak cuma ini sudah 2024 takkan tak ada perubahan untuk khidmat rakyat di klinik kesihatan kerajaan?

“Saya berulang alik ke klinik kesihatan untuk buat pemeriksaan anak dan isteri, Anis Marzuki di Kuantan sejak anak pertama pada tahun lalu sampailah anak kedua tahun ini tapi sistem dan perkhidmatan yang digunakan masih lama dan ‘kuno’ lagi? katanya kepada Harian Metro.

Mengenai klinik kesihatan lagi, kata Zalif, bukan sahaja sistem lama, keadaan luaran klinik juga nampak seperti bangunan terbengkalai.

“Tempat menunggu giliran doktor juga perlu dinaik taraf. Dalam klinik penuh dengan kipas tetapi tiada alat penghawa dingin untuk keselesaan orang ramai ketika cuaca panas.

“Paling sedih bilik untuk rawatan doktor ala zaman P Ramlee dan tiada privasi untuk pesakit di mana satu meja kongsi dengan dua doktor yang merawat pesakit berbeza.

“Selain itu, pesakit juga perlu menunggu empat hingga lima jam untuk giliran bertemu doktor. Itu belum lagi layanan tidak mesra dari jururawat yang berwajah masam seperti bawa masalah peribadi ke klinik?,” katanya.

Terdahulu, Zalif meluahkan perasaan tidak puas hatinya dengan sistem dan perkhidmatan di klinik kerajaan menerusi hantaran di laman Instagram (IG) miliknya dan mendapat perhatian dari pengikutnya.

Rata-rata pengikut bersetuju dengan luahan Zalif itu dan meminta pihak KKM mengambil tindakan segera untuk menaik taraf sistem dan perkhidmatan disediakan kepada orang ramai.

Zalif dan Anis Marzuki berkahwin pada 26 Februari 2022 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wan Nur Aaliya Inara, setahun lapan bulan dan bayi lelaki yang berusia lebih dua minggu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *