Pelakon Indonesia, Baim Wong ketika sambutan ulangtahun pertama Brik di Rooftop Avenue K. FOTO AZIAH AZMEE

Kuala Lumpur : Pelakon Baim Wong, 43, sudah empat tahun tidak membeli barangan mewah seperti segelintir orang berada lain dan lebih selesa bersederhana membeli sekadar cukup untuk dirinya.

Baim berkata, kesedaran itu tercetus dalam dirinya selepas mengenang kesusahan orang lain yang bergelut masalah kewangan dan secara peribadi dia juga tidak selesa pakai bermewah-mewah.

“Saya sudah jarang memakai barangan mewah. Dulu ya, tapi sekarang tak pernah lagi. Saya pernah pakai jam tangan mewah sebelum ini, rasa tak selesa. 

“Saya berfikir kalau menjualnya, harga jam itu saja jumlahnya boleh digunakan mereka yang memerlukan wang. Tapi, itu cuma perasaan peribadi saya sendiri saja. 

“Sejak itu, saya cuma pakai apa yang seadanya saja. Paling-paling beli kasut mahal saja kerana nak kasut yang berkualiti dan selesa. Kalau baju, yang mahal dan murah sama saja bagi saya,” katanya.

Pelakon filem Innocent Vengeance itu akui sudah tidak mengejar kekayaan duniawi lagi. Dalam kehidupannya pun, dia cuma berusaha sediakan harta yang boleh diwariskan kepada keluarga suatu hari nanti.

“Sebanyak mana pun harta kita ada, pengakhirannya sama saja. Pengertian kaya itu membabitkan pahala ketika kita meninggal nanti. Itu yang harus kita sebar di mana-mana supaya menjadi amal jariah,” katanya.

Menjadi antara selebriti Indonesia yang cukup bekerja-keras, Baim tolak tepi kepenatan kerana sukakan dirinya sentiasa produktif. Justeru, tiada istilah letih dalam kamus hidupnya.

“Kalau suka bekerja, tidak akan terasa. Memang banyak, pasukan kerja saya pun sudah ada. Masa itu boleh disusun. Tapi, memang terlalu banyak termasuk sebuah filem saya akan ditayangkan di Malaysia juga,” katanya.

Semalam, Baim hadir menyerikan acara ulang tahun perdana jenama Brik di sebuah pusat beli-belah, di ibu kota, berikutan dia adalah rakan usahasama dengan pengasas jenama tempatan itu.

Source :