Kuala Lumpur: Penyanyi irama Malaysia, Noraniza Idris, 56, bersyukur kerana tersenarai sebagai penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), kategori nyanyian pada Majlis Konvokesyen, Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2024 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), di sini, semalam.
Noraniza yang juga Ratu Etnik Kreatif itu berkata, sijil diperolehnya adalah pengiktirafan dalam kerjaya nyanyian diceburi sepanjang empat dekad berkecimpung dalam industri muzik tanah air.
“Saya sangat bersyukur kerana ada platform industri kemahiran yang boleh mengiktiraf dan membuktikan bakat nyanyian diceburi selama ini.
“Ramai artis yang mahukan bakat seni mereka diiktiraf dari segi pencapaian menerusi SKM ini,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai pemilihanitu, kata Noraniza yang digilap bakatnya menerusi Pertandingan Bintang RTM 1983, dia memperolehinya melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
Katanya, pekerja industri seperti penyanyi dan pelakon yang layak sahaja akan dianugerahkan sijil itu sehingga tahap tertinggi mengikut bidang masing-masing.
“Sijil bakat nyanyian yang diterima ini bermula dari ‘level 3’ (tahap 3). Proses pendaftaran bermula dari set dokumen yang mengandungi rekod dan bukti pengalaman serta proses yang sudah berlaku.
“Bukti diperlukan termasuk senarai tugas dan kelayakan profesional yang pernah dilalui sepanjang 40 tahun dalam industri muzik tanah air.
“Sebagai contoh, album yang pernah dihasilkan dan persembahan pentas sebagai penyanyi utama. Selain itu, anugerah yang pernah dimenangi iaitu Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL), sijil dan trofi yang dimenangi,” katanya.
Menurut Noraniza lagi, sijil itu cukup bermakna kerana ia adalah pencapaian tertinggi dalam karier seninya menerusi bidang kemahiran yang diiktiraf kerajaan.
“Sijil pencapaian kemahiran ini menjadi garis pengukur kepada kemampuan saya dalam menjalankan tugasan jika diberi kepercayaan atau mandat yang berkaitan dalam bidang nyanyian profesional pada masa akan datang. ADVERTISING
“Ia juga memberi motivasi buat saya menjadi lebih yakin untuk membuat perkongsian ilmu selepas ini.
“Sebelum ini, saya mudah lemah semangat apabila diperkecilkan bakat nyanyian seolah tidak ada masa depan di mata masyarakat industri muzii khasnya,” katanya.
Selain Noraniza, penyanyi Roslan Madun juga antara penerima sijil pada majlis konvokesyen berkenaan.