Kumpulan enam pemuda menggelarkan diri mereka sebagai Cherry On Top tampil dengan keistimewaan tersendiri.
Mana tidaknya, mereka bukan calang-calang kerana mewarisi darah seni keluarga yang terlebih dahulu terbabit dalam industri.
Band ini dianggotai oleh Kuzan, 22, sebagai pemain keyboard, programmer dan vokal, Osama, 23, pemain gitar, Ayen Tommy, 25, pemain dram, Holy, 23, penyanyi utama dan pasangan adik
beradik, Didi, 22, dan Bobo, 18, bermain gitar dan bass.
Siapa tidak kenal dengan Osama, anak sulung Datuk Jamal Abdillah manakala Kuzan anak kepada Raja Sham, pengarah muzik terkenal yang juga seorang gitaris, komposer, penyusun dan programmer muzik, selain menjadi pemuzik kanan orkestra RTM.
Ibunya, Zaira Aziz guru vokal (muzik) dan sering mengiringi persembahan penyanyi terkenal, selain mahir bermain flute dan menghasilkan lirik lagu.
Ayen pula anak kepada pemain dram kumpulan rock popular, Wings.
Didi dan Bobo pula anak kepada seorang individu yang aktif dalam muzik rock termasuk menguruskan band seperti Def-Gab-C dulu.
Tidak terkecuali Holy dibesarkan dalam keluarga yang bergelumang dengan muzik.
Mereka yang digabungkan sejak setahun lalu kini tampil dengan genre progresif rock yang menjadi buah mulut peminat dengan single berjudul Ketagih yang turut menampilkan diva soprano, Datuk Syafinaz Selamat.

Kuzan berkata, mereka beruntung kerana pesona sehebat Datuk Syafinaz Selamat sedia berkolaborasi dalam Ketagih.
“Siapalah kami berbanding beliau. Lagu Ketagih dimuatkan di dalam EP sulung Cherry On Top bersempena single ciptaan Kusham dan lirik oleh Syafinaz Selamat sendiri.
“EP diterbitkan oleh Kusham ini dikeluarkan oleh syarikat rakaman One Scream Studio dan turut memuatkan lima lagu, iaitu Mengintai Rahsia, Menunggu dan Resolusi, selain Ketagih Extended Version).
“Cherry On Top adalah artis pertama One Scream Studio yang diasaskan oleh Kusham dan Zaira Aziz,” katanya.
Anggota Cherry On Top masih mengikuti pengajian dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kecuali Didi yang mengambil jurusan automotif di sebuah kolej tempatan.
Bobo pula yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia juga akan meneruskan pengajian asasinya di Aswara.
Holy atau Adriana Audrey Michael pula mengakui kesediaan Syafinaz untuk berkolaborasi bagaikan satu mimpi kepadanya.
“Malah, saya terpaksa mencubit lengan untuk memastikan saya tidak bermimpi. Semasa kecil, saya begitu mengagumi Datuk Syafinaz terutama apabila beliau membuat ulasan dalam perjurian,” katanya yang berasal dari Papar, Sabah.