KUALA LUMPUR: Pelakon veteran era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 68, bersyukur wakil daripada Pusat Zakat akan datang ke kediamannya untuk membantu berhubung masalah kewangan dihadapinya membabitkan sewa rumah tertunggak, petang ini.

Dharma berkata, dia berterima kasih kepada Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez kerana sudi membantunya sehingga merujuk masalah dihadapi kepada Pusat Zakat atau Baitulmal.

“Saya adalah ahli seumur hidup KARYAWAN dan menjadi ahli persatuan lain seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), tapi hanya Persatuan KARYAWAN nampaknya bersusah payah membantu.

“Freddie, Radhi Khalid dan Datuk Khadijah Ibrahim boleh saya katakan bersungguh-sungguh bantu saya dalam kesusahan sehingga Pusat Zakat pun datang berjumpa saya, petang ini,” katanya kepada Harian Metro.

Dharma berkata, dia terharu dengan sikap prihatin Persatuan KARYAWAN yang membantunya sampai tahap ini berikutan apa yang dilalui adalah pengalaman pertama dalam hidup.

“Saya tak tahu nak cakap apa, sebab sebenarnya ini adalah kali pertama saya berhadapan kesulitan masalah kewangan. Saya memang tak tahu ke mana nak rujuk dan bercakap.

“Saya tak sangka Persatuan KARYAWAN bantu carikan Pusat Zakat, orang itu dan ini untuk membantu saya keluar daripada kemelut kewangan, seterusnya dapat melunaskan sewa rumah tertunggak.

“Malah, Freddie juga menghubungi saya setiap hari untuk bertanya khabar dan ‘update’ kepada saya mengenai pihak yang mahu datang berjumpa dan membantu seperti Pusat Zakat,” katanya dengan nada sebak.

Semalam, Harian Metro melaporkan Freddie berkata, dia mahu merujuk kepada Pusat Zakat atau Baitulmal bagi mendapatkan bantuan kewangan sementara untuk membantu Dharma yang berstatus asnaf dan sudah lama tidak bekerja akibat masalah kesihatan.

Terdahulu, Dharma yang pernah popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja terpaksa akur dengan arahan mengosongkan kediaman yang disewa di Wangsa Maju pada hujung bulan ini selepas gagal membayar sewa tertunggak.

Pelakon yang kini berhadapan masalah kesihatan akibat diserang angin ahmar kusut memikirkan bagaimana hendak melunaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500 berikutan notis sudah dikeluarkan oleh pemilik.

Menurut Dharma, dia dan dua anaknya iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, perlu melunaskan tunggakan bayaran sewa itu segera, namun anaknya tidak bekerja kerana masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *