Kuala Lumpur: “Saya Nabil Ahmad, pada bulan yang suci dan mulia ini ingin memohon maaf andai kata ada ayat saya mungkin mengundang rasa tidak selesa sesetengah pihak dan menyinggung mana-mana individu.
“Segala yang baik datangnya dari Allah dan segala yang buruk, salah dan silap itu dari diri saya sendiri.”
Demikian kata-kata pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad yang tampil memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya ketika mengendalikan sebuah program hiburan secara langsung di stesen TV swasta baru-baru ini.
Polemik hangat ini tercetus apabila Nabil menerusi klip video yang tular membangkitkan isu berhubung ramai asatizah (merujuk kepada Ustaz Don Daniyal) ketika ini didakwanya sedang berdepan “ujian” sehingga ada antara mereka “direhatkan” daripada berceramah atau mengendalikan sesebuah program.
Dia tanpa berselindung mendakwa perkara ini berlaku disebabkan ada pihak yang membuat hasutan berhubung isu direhatkan terbabit.
Menurutnya, perkara itu tidak sewajarnya berlaku atau boleh dielakkan sekiranya boleh dibincangkan secara baik.
Isu ini tercetus susulan kontroversi ditimbulkan Don Daniyal sewaktu mengemudi program Salam Baitullah di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) sehingga menerima teguran Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Suhaimi turut memaklumkan pendakwah selebriti itu direhatkan seketika selepas membuat dakwaan berhubung Rasulullah SAW.
Don Daniyal dibenarkan bersiaran semula seminggu kemudian, tetapi kembali mengulangi kesilapannya.
Tindakan sekali lagi diambil terhadapnya apabila direhatkan terus daripada mengemudi program Salam Baitullah.
Don Daniyal sekali lagi berdepan kecaman apabila jawapannya menimbulkan kekeliruan berhubung berpuasa pada hari Tasyrik.
Malah kenyataan itu turut mendapat teguran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Na’im Mokhtar.
Don Daniyal bagaimanapun segera meminta maaf kepada masyarakat menerusi media sosial.
Dalam perkembangan berkaitan, Nabil yang juga hos program realiti, The Hardest Singing Show (THSS) bersama Rina Nose berkata, dia akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa akan datang.
“Saya akan cuba untuk lebih berhati-hati di masa akan datang,” katanya.