Petaling Jaya: Pelakon Puteri Sarah Liyana atau Sarah, 39, akan terus setia menjadi sistem sokongan buat sahabatnya, Bella Astillah, 30, yang masih berada dalam keadaan terkejut kerana perceraiannya, baru-baru ini.

Sarah berkata dia baru berkesempatan berjumpa Bella dan berusaha sebaiknya membantu memberikan kata-kata semangat kepada pelakon dan penyanyi berkenaan.

“Saya dah lama tak jumpa dengan Bella dan masa dia bercerai di mahkamah, saya tak sempat nak jumpa dia. Kebetulan masa sambutan raya haji, kami berpeluang bertemu sambil bawa anak-anak bersama.

“Dapat dikatakan, dia masih dalam keadaan terkejut dan sedang cuba menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Sebagai sahabat, saya kena beri sokongan dan semangat kepada Bella untuk dia meneruskan hidupnya,” katanya ditemui selepas sidang media drama Polis Peronda terbitan Skop Productions di Sri Pentas, di sini, hari ini.

Sarah percaya Bella pasti mampu cekalkan diri apalagi memikirkan anak-anaknya dalam meneruskan kehidupan ke depan dengan status baharunya.

“Dia masih sedih, itu sudah tentu. Saya dulu tak sedih sebab dah lama ‘move on’. Bagi Bella, dia masih tak boleh menerima kenyataan tetapi dia mencuba. Sebab ini kali kedua dia bercerai dan saya tumpang sedih kerana memikirkan anak-anaknya.

“Tetapi saya nak dia tahu, saya sentiasa ada di sisi untuk menyokongnya. Saya ada pesan kepadanya, kalau ada apa-apa tolong beritahu saya,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, pasangan selebriti kontroversi, Aliff Aziz dan Bella sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Aliff melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat, kira-kira jam 1.10 tengah hari.

Lafaz itu kemudian disahkan mengikut hukum syarak oleh Wan Mohd Najib.

Sebelum ini, Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun, rujuk semula.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *