Kuala Lumpur: “Buat masa ini, keputusan merehatkan Ustaz Don kekal,” kata Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tempoh pendakwah, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah di RTM.

Jelas Suhaimi lagi sebarang keputusan mengenai tempoh masa untuk Ustaz Don direhatkan juga hanya akan diketahui selepas pendakwah berkenaan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ia bergantung kepada hasil pertemuan antara kedua-dua pihak. Ustaz Don akan jumpa pihak Jakim dan sebarang keputusan yang bakal diambil RTM bergantung kepada hasil pertemuan itu.

“Buat masa ini, keputusan merehatkan Ustaz Don kekal dan tujuannya untuk mengelakkan berlakunya perbalahan antara umat Islam,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan keyboard oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kepada komposer dan pemuzik terkenal, Ross Ariffin di kediamannya, semalam.

Khamis lalu, Jakim dilapor akan memanggil Ustaz Don bagi mendapatkan perincian berhubung kontroversi dikaitkan dengan penceramah itu.

Tambah Suhaimi, pihaknya juga sudah mengadakan pertemuan dengan Ustaz Don bagi menjelaskan rasional tindakan dibuat.

“Sehari selepas saya mengumumkan di aplikasi X, saya mengadakan pertemuan dengan Ustaz Don dan pengurusannya.

“Saya memberitahu padanya tindakan kami adalah untuk meredakan keadaan. Ustaz Don akur dengan keputusan jika itu adalah yang terbaik.

“Pertemuan ini berlangsung secara santai dan Ustaz Don memahami situasi yang sedang kami hadapi itu,” jelas Suhaimi yang turut menepis tanggapan mengatakan ketiadaan pendakwah itu menjejaskan kelancaran program berkenaan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah susulan pertikaian netizen membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakannya ketika bersiaran di sebuah stesen radio hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Source :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *