Kuala Lumpur : Bagi memberikan persembahan terbaik dalam program The Hardest Singing Show, Ayda Jebat berkorban untuk tidak tidur bersama dua anaknya yang masih kecil.
“Saya sudah beberapa hari tidak tidur bersama anak-anak saya,” katanya.
Ayda berkata, itu antara pengorbanannya apabila menyertai program realiti yang sudah memasuki minggu keempat itu.
“Antara pengorbanan saya adalah tidak dapat meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Ini kerana bagi memastikan persembahan dan aksi-aksi berjalan lancar, latihan perlu dijalankan dengan giat.
“Saya hanya pulang ke rumah pada jam 5 atau 6 pagi. Saya sudah lama tidak berkesempatan menidurkan mereka. Sejujurnya sebagai ibu, saya rasa sangat bersalah kepada mereka.
“Namun, saya bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sangat membantu. Buat masa ini mereka menghulurkan tangan kerana memahami komitmen yang diberikan sepanjang pertandingan ini.
“Boleh dikatakan inilah yang paling susah sekali. Apabila tidak dapat meluangkan masa dengan anak-anak yang masih kecil. Definisi ‘hardest’ itu untuk saya adalah pada bahagian ini,” katanya.
Menurut Ayda, suaminya iaitu Nabil Mahir banyak merencana konsep dan jalan cerita persembahannya.
“Boleh dikatakan 100 peratus idea datang daripada Nabil. Saya bertuah kerana mempunyai pasukan yang sangat bagus dan membantu melancarkan segala apa yang sudah dirancang.
“Saya hanya ingin memberikan yang terbaik apabila berada di atas pentas. Malah, saya juga mengambil kelas vokal bagi memastikan suara terkawal biarpun melakukan aksi ‘stunts’ dan sebagainya,” katanya.
Selain Ayda, program berkenaan turut disertai Stacy, Aepul Roza, Putera Muhammad, Zizi Kirana, De Fam dan Aisha Retno.