PENGARUH media sosial seperti TikTok pada masa kini amat meluas. Malah, menerusi hantaran video dibuat juga membantu ‘Tiktoker’ yang menjadi pencipta kandungan atau ‘content’ menjana pendapatan mereka.
Mengambil kira juga situasi dihadapi kebanyakan penggiat seni veteran yang mendakwa sudah tiada tawaran kerja, amat dialu-alukan agar berjinak-jinak dengan TikTok dan menyertai agensi berdaftar untuk dibantu menjadi hos rasmi TikTok Live.
Sebanyak 21 agensi berdaftar yang memberi peluang kepada mereka berminat sebagai ‘Tiktoker’ mendapatkan latihan secara percuma supaya video-video yang dihasilkan nanti tidak melanggar sensitiviti 3R iaitu kaum, agama dan raja.ADVERTISING
Pengasas VIBES International Agency, Datuk Seri Eizlan Yusof berkata, agensi yang diseliakannya sejak setahun lalu amat komited dalam usaha memberikan pendedahan kepada masyarakat serta penggiat seni seni terhadap pasaran era digital masa kini.
“Walaupun VIBES International Agency baharu setahun ditubuhkan, kami berjaya berkongsi kepakaran dan pengalaman untuk membangunkan kandungan bersama beberapa ‘Tiktoker’ tempatan dan antarabangsa.
“Malah, antara selebriti senior kita yang sudah berjaya bersama kami (VIBES) ialah AR Badul, Helmi Gimmick dan ramai lagi,” katanya pada sidang media sempena Malam Anugerah Apresiasi Hos Rasmi TikTok Live 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Menurut Eizlan, VIBES berperanan mendidik hos TikTok yang bernaung di bawah mereka untuk mengendalikan aplikasi media sosial popular itu dengan betul, berhemah dan mengutamakan etika agar tidak berkongsi kandungan video sensitif.
“Dari awal lagi, kami nampak bahawa pengaruh media sosial memainkan peranan penting ketika ini. Jadi, apabila kami diberi peluang untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam penganjuran acara, ia suatu peluang keemasan.
“Justeru, kami akan terus berusaha mendidik orang ramai termasuk penggiat seni senior yang berminat dengan memberi satu pandangan positif iaitu bagaimana cara menggunakan media sosial seperti TikTok ini dengan sebaik mungkin.
“Menerusi kerjasama dibuat dengan agensi kerajaan, kami boleh mendapatkan akses dengan mudah untuk membantu terutama dalam memberi input mengenai perkara sepatutnya kepada orang ramai ketika mereka mengendali aplikasi ini (TikTok),” katanya.
Eizlan berkata, di bawah VIBES kini sudah mempunyai seramai 300 hos TikTok dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang bernaung dan berharap jumlah itu akan terus bertambah pada setiap masa.
Malam Anugerah Apresiasi Hos Rasmi TikTok Live 2024 itu juga dihadiri Ahli Lembaga Pengarah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zed Zaidi.
Hadir sama Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Datuk Fyzal Fauzy dan Pengerusi Eco Marine Holding, Datuk Seri Alex Teh.
Eizlan juga meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada rakan penaja strategik yang sudi bekerjasama dalam menjayakan acara itu seperti PICC, Biocare Resources, APT Hair Salon, Essential Healthy Living, Ellojoy dan banyak lagi.
Seramai 64 hos rasmi TikTok diumumkan sebagai penerima anugerah daripada 10 kategori dipertandingkan sebagai penyuntik semangat untuk mereka dalam bidang pencipta kandungan di aplikasi media sosial itu.