PULANG ke kampung halaman menyambut Syawal bersama keluarga tercinta amat ditunggu-tunggu oleh warga kota untuk berhari raya.

Kehadiran si kecil ternyata menyerikan dan menggamatkan lagi suasana perayaan.

Begitu juga keterujaan digambarkan pasangan penyanyi, Akim Ahmad dan Stacy yang menyifatkan kehadiran anak lelaki mereka, Isa melengkapkan lagi perayaan Aidilfitri pada tahun ini.

Apatah lagi anak ketiga pasangan selebriti kelahiran program realiti Akademi Fantasia ini hampir menginjak dua tahun dan semakin lasak serta bijak.

“Jika diikutkan perancangan kami akan beraya di Negeri Sembilan kerana bapa tinggal di sana dan adik-beradik juga akan pulang ke sana. Tapi, teringin juga hendak beraya di Sabah iaitu kampung halaman Stacy kerana suasana di sana pasti berbeza.

“Bukan apa, sambutan Aidilfitri bagi setiap perayaan berbeza dan tidak sama. Selain suasana, juadah dan hidangan juga pastinya berbeza. Tapi, apa pun raya tahun ini lebih gembira dengan adanya Isa.

“Jika tahun lalu Isa masih kecil, tahun ini dia sudah semakin bijak dan lasak yang menggamatkan lagi suasana berhari raya. Tambahan pula, Isa adalah anak lelaki pertama dalam rumah tangga kami, jadi ragamnya berbeza,” kata Akim.

Kehilangan arwah ibu ternyata memberikan impak begitu besar buat vokalis kumpulan The Majistret itu, namun kehadiran anak-anak menjadi penguat buat Akim.

Akim berkahwin dengan Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari 2016.

Perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran tiga cahaya mata iaitu Bella, Eshaal dan Isa.

Mengimbas kembali kenangan beraya pada 2018, Akim memuji kegigihan Stacy yang pertama kali menjahit baju raya mereka sekeluarga untuk digayakan pada hari raya pertama.

Biarpun busana berkenaan tidak sempat dilunaskan sebelum raya, namun nostalgia itu dikenang sehingga masa depan.

“Betapa tekunnya dia menjahit walaupun tak pernah pun jahit baju kurung dan baju Melayu. Walaupun ada kekurangan, ia memori untuk kami berdua kenang, tetapi kekurangan itu yang menyempurnakan semuanya.

“Stacy belajar menjahit daripada Youtube dan buku jahitan, bukan sehelai sebaliknya empat pasang untuk saya serta anak-anak.

“Memang bukan mudah sebenarnya, apatah lagi saya juga begitu teliti mengenai soal ini. Jadi, rasanya lebih baik beli dan hantar tempah saja. Proses menjahit ini renyah sebenarnya, jadi saya tidak mahu sejarah lalu berulang kembali,” kata Akim.

Pasangan selebriti yang tampil dengan lagu Rima dan Ritma itu mengekalkan konsep bersederhana dalam beraya dan menggunakan momen indah itu untuk meluangkan masa bersama.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *