PROGRAM Halaqah kembali dengan nafas baharu dan muncul dengan teknologi hologram khas buat penonton setia yang menantikan kemunculan program keilmuan itu.
Lebih menarik setiap episod mengadaptasikan perkongsian teknologi terkini menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai perkongsian baharu dan lebih mendalam kepada penonton sejak 15 Mac lalu setiap Jumaat, jam 6 petang di TV3.
Halaqah musim baharu juga menampilkan tiga panel iaitu Datuk Dr Danial Zainal Abidin, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Ustaz Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan.
Penerbit dan hos Halaqah, Ahmad Noor Sulaiman berkata, bagi memberi kelainan kepada penonton untuk mendalami kisah perjuangan ilmuwan Islam di kaca TV, pihak produksi mengangkat teknologi hologram di TV.
“Halaqah musim baharu membawa pembaharuan di mana kami menggunakan teknologi hologram. Kalau tidak salah, teknologi digunakan adalah yang pertama dalam sejarah penyiaran televisyen tempatan.
“Selepas diputuskan untuk menggunakan teknologi ini, sudah pasti ia memberi cabaran kepada produksi kerana proses ini tidak mudah.
“Bagi merealisasikan teknologi hologram ini, ada beberapa visual yang perlu dibangunkan seperti pembinaan kota Baghdad, Hulagu Khan dan beberapa visual yang sebelum ini tidak pernah ada,” katanya pada sidang media musim baharu Halaqah di Studio TV3, Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.ADVERTISING
Ahmad Noor berkata, semua visual hologram yang disiarkan di TV mendapat sentuhan 12 pelajar Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran (FMKK) dari Universiti Islam Selangor (UIS) dengan bantuan dua pensyarah.

“Apa yang kami tampilkan ini adalah pembaharuan besar bagi rancangan agama yang diterbitkan TV3. Sebagai penerbit, saya inginkan sebuah program yang lebih sedar dan memberi kelainan.
“Dalam Halaqah, kami menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan kandungan yang disampaikan kepada penonton bertepatan.
“Setiap kali sebelum memulakan sesi rakaman, pasukan berbincang untuk melihat isu yang berlaku pada hari ini termasuk melihat perkara yang boleh dikaitkan,” katanya.
Menyentuh mengenai kupasan topik yang akan dibincangkan setiap episod, Ahmad Noor mengaku setiap episod menampilkan topik yang agak berat, tetapi setiap panel mempunyai cara penyampaian yang mudah difahami penonton di rumah.
“Lima episod pertama program ini akan membawa penonton memahami apakah yang dikatakan mengenai Revolusi Industri (IR) 1.0, 2.0, 3.0 dan 4.0. Sekarang ini kita berada dalam IR 4.0 yang menggunakan AI.
“Dunia mempunyai kira-kira 1.8 bilion umat Islam, jadi kami mahu berikan kesedaran mengenai teknologi AI daripada sudut baik dan buruknya.
“Setiap panel yang dibawa semuanya pakar dalam bidang masing-masing. Saya percaya gabungan mereka mampu memberikan kefahaman yang jelas kepada penonton mengenai topik dibincangkan,” katanya.
Antara topik yang bakal dibincangkan adalah AI Di Mata Islam di mana setiap paneli membincangkan mengenai kemampuan teknologi AI dan ChatGPT untuk menjawab pelbagai soalan termasuk hukum asas dan agama Islam.
Antara topik lain adalah 24 Nama Di Bulan iaitu tanda penghargaan dunia terhadap sumbangan peradaban Islam.
Melalui topik itu, paneli membincangkan mengenai 24 nama ilmuwan dan ulama Islam terkemuka yang diabadikan pada kawah bulan.
Sebelum ini, Halaqah pernah memenangi tiga kategori pada Anugerah Seri Angkasa 2022 menerusi Kategori Set TV Terbaik oleh Mohamad Izuan Munshid (Halaqah 2020), diikuti Kesan Khas TV Terbaik (Halaqah 2021) dan Anugerah Khas Juri menerusi Halaqah Episod 7: Bencana, Muhasabahkah Kita?