MAN Kidal.
Kuala Lumpur : Pemain gitar terkenal, Man Kidal melahirkan perasaan bangga dan gembira apabila karya dan persembahannya dikongsi peminat menerusi platform digital, YouTube dan medium lain.
Man Kidal atau nama sebenar, Abdul Rahman Mahmood berkata, malah dia berterima kasih kepada mereka yang menyokongnya sejak dulu sehingga kini.
“Ramai yang sangka saluran YouTube ini milik saya, tapi sebenarnya ia dihasilkan oleh peminat. Tak apa, biarlah…saya okay saja mereka nak buat. Bukan satu masalah besar apabila mereka kongsi hasil karya persembahan saya di YouTube.
“Saya tiada masa nak fikir untuk buat sendiri saluran YouTube atau nak bertindak terhadap mereka yang buat begini. Pada saya, biarlah rezeki dikongsi bersama-sama dengan mereka.
“Kalau kita bagi orang, kita akan dapat banyak lagi. Mereka bantu kita juga untuk promosi dan kita tak perlu buat lagi. Banyak saluran dan kita tak perlu marah.
“Walaupun kita dapat benda-benda yang tak elok, kita terima saja. Banyak yang kita perlu belajar. Sebenarnya lepas Covid-19, saya ibarat hidup semula,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam perkembangan berkaitan, Man Kidal kini terbabit membantu rakan artis dalam kesusahan menerusi Konsert Malam Amal Lagenda.
“Usaha ini adalah tanda prihatin saya dan beberapa artis lain yang terbabit terhadap rakan selebriti yang kurang bernasib baik.
“Apa salahnya berkongsi (rezeki) dengan kawan yang lain. Saya juga pernah susah kerana muflis. Pengalaman itu sebenarnya beri saya kesedaran.
“Kita kena jaga hubungan, berkasih sayang dengan sesiapa saja. Inilah perkara yang membangkitkan semangat saya untuk menjadi rajin,” katanya.
Konsert anjuran AS Travel & Tours Sdn Bhd dan Koperasi Usahawan Intelektual Siswazah Malaysia Berhas itu akan dianjurkan pada 3 Mac depan di Hotel Whyndam, Klang, Selangor.
kreadit : hmetro.com