Bangsar : “Saya dan suami sudah memaafkan perbuatannya itu. Kami yakin semua orang faham dengan keadaan kesihatannya,” kata penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi, 38.
Heliza berkata demikian ketika diminta mengulas nama suaminya, Datuk Seri Mahadi Zaman dipetik pelakon Fathia Latiff kerana didakwa gagal menyiapkan rumahnya dalam sesi siaran langsung di media sosialnya sebelum ini.
Menurut Heliza atau nama sebenar, Nur Heliza Helmi, pihaknya tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Fathia kerana apa yang diperkatakannya adalah tidak betul sama sekali.
Katanya, dia juga tidak terkesan dengan dakwaan pelakon berkenaan kerana tuduhan dilemparkan itu tidak benar.
“Saya juga tidak mengetahui apa motif sebenarnya tapi kami memilih untuk memahami keadaan kesihatan pelakon berkenaan.
“Ketika dia (Fathia ) buat ‘live’, (siaran langsung) saya betul-betul tak tahu apa-apa, tapi bila ada orang forwardkan (hantar kepada saya), secara jujurnya, saya mula faham,” katanya ketika ditemui Harian Metro pada sidang media program Nasi Lemak Kopi 0 (NLK0) TV9, semalam.
Ditanya sama ada suaminya mengenali pelakon itu, Heliza yang juga pengacara program NLK0 turut menafikannya.
“Saya sendiri tidaklah mengenali Fathia secara rapat tapi bila dia keluarkan kenyataan seperti itu, saya berasa satu Malaysia sudah faham keadaan dia.
“Jadi tanpa perlu saya mengeluarkan apa-apa kenyataan sekalipun, orang akan faham dan pada saya, mungkin ini adalah masa dia diuji dan apa yang diperlukannya adalah doa dari seluruh umat islam,” katanya.
Terdahulu, Fathia mendakwa suami Heliza iaitu Datuk Seri Mahadi Zaman sebagai penipu apabila syarikat miliknya dikatakan gagal menyiapkan rumah yang dibelinya, sejak lima tahun lalu.
Malah pelakon itu mendakwa dia perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM5,000 tetapi premis yang dijanjikan siap tahun lalu itu masih lagi tidak nampak bayangnya.
Kredit: Harian Metro