KUALA LUMPUR: Biarpun melakar sejarah sebagai filem Malaysia pertama memecahkan rekod tayangan di Taiwan dengan kutipan pecah panggung lebih RM13.5 juta, naskhah mengisahkan liku hidup dua beradik, iaitu Abang Adik, tidak akan disambung.

Pengarah filem itu, Jin Ong yang berasal dari Taiping, Perak, tidak berhasrat menghasilkan sekuel naskhah terbabit, demi mengekalkan keaslian dan keunikan karya itu.

Berbesar hati dengan penerimaan penonton terhadap filem Abang Adik, Ong lebih memberi tumpuan kepada perkara lain termasuk kemungkinan membawa karya terbabit menyertai acara anugerah filem tempatan dan antarabangsa seperti Anugerah Akademi (Oscar) sebagai wakil negara.

“Seperti yang kita tahu, Anugerah Oscar ada banyak syarat penyertaan yang perlu kita ikut. Ada yang kata, kami perlu hantar tahun lalu, iaitu sebelum November.

“Namun, filem Abang Adik ditayang Disember. Jadi, kita lihat bagaimana peluang tahun ini.

“Mengenai Festival Filem Malaysia (FFM), sebelum ini saya pernah menang Anugerah Khas Juri di FFM Ke-29 melalui filem Shuttle Life sebagai penerbit.

“Jadi, untuk edisi FFM seterusnya, saya berminat untuk sertai,” katanya ditemui pada majlis penghargaan filem Abang Adik di Golden Screen Cinemas (GSC) di pusat beli belah Lalaport di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, bintang utama filem Abang Adik, Wu Kang Ren yang juga pelakon Taiwan.

Selain kutipan box office filem Abang Adik terbitan More Entertainment Sdn Bhd dan New Century Southward Development Co Ltd ini juga muncul naskhah tempatan yang mencapai kedudukan pertama sepanjang tempoh tiga minggu tayangan di Taiwan.

Filem Abang Adik mengutip RM5.2 juta dalam tempoh 24 hari tayangan di Malaysia. Foto NSTP Sadiq Sani
Filem Abang Adik mengutip RM5.2 juta dalam tempoh 24 hari tayangan di Malaysia. Foto NSTP Sadiq Sani

Malah, filem yang turut dibintangi Jack Tan ini mengutip RM5.2 juta dalam tempoh 24 hari tayangan di Malaysia.

Melihat satu persatu pencapaian diraih filem Abang Adik, tiada lain diakui Ong, kejayaan dicapai adalah berkat kerja sepasukan.

“Ini adalah suatu perjalanan mengagumkan. Saya tidak pernah membayangkan semua ini.

“Saya gembira dengan kejayaan dan berterima kasih kepada pasukan produksi kerana bersungguh-sungguh menjayakan filem ini.

“Lebih membahagiakan apabila kejayaan dan sejarah yang dicipta di Taiwan bersambung hingga ke Malaysia. Kita anggap sebagai pembuka tirai 2024 yang sangat manis… Terima kasih semua,” katanya.

Ong berharap rakyat terus menyokong filem tempatan susulan kejayaan diraih Abang Adik.

“Semoga filem Malaysia terus bersemarak dan membuka mata dunia mengenai kehebatan karyawan seni tempatan,” katanya.

Ong gembira apabila hasrat menyampaikan mesej berguna kepada penonton melalui filem Abang Adik, tercapai.

“Impak filem ini adalah apabila kami dapat menyampaikan mesej berguna kepada penonton. Sekarang, orang ramai mula beri perhatian kepada isu diketengahkan dalam filem Abang Adik seperti dokumen pengenalan diri.

“Selain itu, filem ini juga memberi impak positif kepada pelakon terutama Tan. Kita tahu, industri perfileman bahasa Cina di Malaysia tidak membuka peluang besar kepada pelakon.

“Jadi, saya sentiasa berhasrat membawa produksi kita ke luar negara. Sehubungan itu, pelakon boleh mengembangkan bakat mereka di luar Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai naskhah seterusnya, Ong tidak menafikan tertekan untuk menghasilkan filem baharu dengan impak positif kepada khalayak.

“Sudah tentu ada tekanan dan semua orang cakap perkara sama. Namun, ketika menjayakan filem ini, saya tidak letakkan harapan besar.

“Sebenarnya, filem saya sebelum ini semuanya, tidaklah okey. Dapat sertai festival filem, namun, tidak pernah raih kutipan pecah panggung.

“Namun, saya tidak letakkan sasaran box office. Apa yang penting bagi pengarah filem adalah dapat sampaikan cerita dan karya diterima baik.

Sementara itu, Kang Ren terbuka bekerjasama dengan syarikat produksi Malaysia selepas kejayaan filem Abang Adik.

“Abang Adik adalah filem pertama saya bekerjasama dengan Malaysia. Sudah tentu saya mahu terus berkolaborasi.

“Saya mahu kembali kerana pengalaman bekerjasama dengan produksi Malaysia sangat positif buat saya,” katanya.

Mengangkat kehidupan dua anak yatim piatu, filem Abang Adik tidak memerlukan lebih daripada keaslian dan keunikan naratif untuk dijulang dalam pelbagai festival filem dan anugerah di seluruh dunia.

Filem Abang Adik mendapat pengiktirafan dunia apabila mencipta sejarah sebagai naskhah Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama pada Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali, April tahun lalu.

Filem ini membawa pulang trofi Golden Mulberry dan Anugerah White Mulberry bagi kategori filem cereka terbaik.

Kang Reng juga diumum Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.

Abang Adik mengisahkan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan miskin di Malaysia, iaitu di lokasi sudut tersembunyi di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Dua beradik itu hidup tanpa dokumen pengenalan diri dan mendiami kawasan di Pudu, yang cukup terkenal dengan pasar basah dan aktiviti perniagaan lain.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *