Kuala Lumpur : Penyanyi Khai Bahar, 30, kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Rosnah Muhammad, 62, yang meninggal dunia pada jam 10.40 malam tadi, di Kangar, Perlis.
Terdahulu, berita sedih itu dikongsikan pengurus Khai iaitu Rizal atau Jai menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram Story.
“Salam semua, saya pengurus (Jai) yang mewakili pihak Khai Bahar ingin memaklumkan bahawa Mak Ros (ibu Khai Bahar) telah meninggal dunia sebentar tadi di Perlis.
“Jenazah akan disolatkan di Masjid Tuanku, Kangar selepas solat Zuhur hari ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka.
“Semoga roh arwah dicucuri rahmat, Al-Fatihah,” tulisnya.
Difahamkan sebelum ini Khai memaklumkan keadaan kesihatan ibunya merosot akibat penyakit buah pinggang, masalah jantung dan paru-paru.
Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas sesak nafas, selain mula menjalani rawatan dialisis sejak awal tahun lalu.
Sementara itu, meninjau di akaun Instagram Khai, dia hanya mengemaskini Instagram Story dengan memuat naik hantaran video di dalam bot untuk perjalanan pulang ke Kangar. Difahamkan Khai berada di sebuah pulau sebelum itu.
Dalam rakaman itu, Khai dilihat gagal menahan sebak dengan mengesat air mata, selain meninggalkan kapsyen ‘mak’.
Allahyarham Rosnah yang baru meraikan sambutan hari lahir ke-62 pada 25 Disember tahun lalu, meninggalkan 10 anak.
Kredit: Harian Metro