Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri berkata, keikhlasan dan disiplin diri juga menjadi aspek penting yang perlu ada dalam diri apabila melakukan apa saja kerja tanpa mengharapkan imbuhan akan diperoleh.

‘Paling kurang itulah benda-benda yang perlu diutamakan oleh kalian terlebih dulu dan insya-Allah, orang boleh nampak dan boleh menghargainya suatu masa nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Bell yang menunggu selama 37 tahun untuk bakat dan dirinya meraih populariti sebagaimana selebriti lain yang mempunyai kelab peminat berkata, dia hanya fokus pada buat kerja tanpa memikirkan anugerah.

“Jangan cuba fikirkan untuk raih anugerah dan dapatkan sesuatu. Tapi, kita buat saja dulu sesuatu benda itu (kerja) secara bersungguh-sungguh, insyaAllah mungkin akan ada nikmat yang Allah berikan nanti.

“Apapun, moga-moga semua yang kita buat dengan ikhlas itu orang nampak, dan secara tidak langsung mungkin suatu masa nanti kita akan dihargai,” katanya 

Pada 22 Julai lalu, Bell dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35), selain turut memenangi anugerah Artis Komedi Popular di acara berprestij itu.

Sebelum itu, Bell dikenali ramai dengan watak Barkoba atau ‘geng plastik hitam’ dengan tagline ‘yak yak yeay’ dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Telefilem mengisahkan lelaki yang malas berpuasa itu secara tidak langsung mencetuskan fenomena luar biasa pada seluruh rakyat Malaysia dari Semenanjung sehingga ke Sarawak dan Sabah.

Pada 1998, difahamkan Bell pernah merangkul anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin TV3 menerusi telefilem Pa’e yang juga dibintangi pelakon Shaheizy Sam.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *