Petaling Jaya : Belumpun ditayangkan di pawagam tanah air, filem Abang Adik arahan Jin Ong sudah melakar kejayaan di luar negara apabila mencipta rekod  pecah panggung di Taiwan dengan kutipan sebanyak RM6.5 juta (NT$40mil)

Menurut anak tempatan kelahiran Taiping, Perak itu, dia dimaklumkan mengenai berita gembira berkenaan menerusi mesej yang dihantar daripada pihak tayangan filem terbabit di Taiwan.

“Saya menangis kegembiraan kerana tiga hari pertama tayangan filem ini pun kami sudah berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.2 juta.

“Saya difahamkan, semua filem dari Malaysia yang pernah ditayangkan di Taiwan juga tidak dapat mengatasi rekod berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan tayangan filem Abang Adik di pawagam GSC The Starling, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut filem Abang Adik, Ong berkata, pada mulanya dia juga berasa takut untuk menayangkan filem itu di Taiwan kerana bimbang akan menerima nasib sama seperti filem lain.

“Namun, sebaliknya apabila filem Abang Adik pula sering  diperkatakan penonton sejak ia ditayangkan di pawagam di sana.

“Disebabkan itu perasaan kami sudah berubah dan tidak menyangka ia boleh meraih kutipan yang baik hanya selepas tiga hari tayangan sebelum ini,” katanya.

Ditanya harapannya menjelang tayangan filem itu di pawagam tanah air,  Ong berkata, dia yakin filem Abang Adik akan mendapat tempat di hati penonton tempatan.

“Pihak kami yakin untuk menayangkan filem ini di Malaysia dan percaya akan mendapat maklum balas yang baik terutama membabitkan penonton berbangsa Cina.

“Saya juga mendapat maklum balas yang positif daripada kenalan ketika berada di Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum ini.

“Justeru, ia membuatkan saya teruja dan sudah pasti saya berharap pasaran filem di Malaysia akan memberi impak positif kepada filem Abang Adik,” katanya.

Filem Abang Adik bakal ditayangkan di 82 pawagam tanah air bermula 14 Disember ini.

Ia adalah terbitan More Entertainment Sdn Bhd bersama New Century Southward Development Co LtD dan edaran mm2 Entertainment.

Terdahulu, filem Abang Adik yang ditayangkan di Taiwan bermula 1 Disember lalu mendominasi carta pecah panggung negara itu pada minggu pertama dengan kutipan sebanyak RM2.22 juta (NT$15mil), sekali gus dianggap kutipan tertinggi untuk filem Malaysia.

Filem Abang Adik menceritakan kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren. 

Mereka hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu, Kuala Lumpur iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.

Pada November lalu, Kang Ren juga dinobatkan pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.

Selain itu, filem Abang Adik juga mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Filem itu turut berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk kategori Filem Cereka Terbaik.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *