BAND rock legenda, Wings tetap meneruskan Konsert Wings The Rock Emperor-Kuala Lumpur Chapter di Stadium Malawati, Shah Alam pada 16 Disember depan walaupun dilabel tidak sensitif dengan nasib penduduk Gaza di Palestin ketika ini.

Penyanyinya, Datuk Awie berkata, mereka perlu meneruskan kerja kerana itu adalah periuk nasi mereka.

“Namun, itu tidak bermakna Wings lupa pada penderitaan ditanggung rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan rejim Zionis.

“Ada yang pertikaikan Palestin sedang berperang dengan Israel, tapi kami masih sibuk menyanyi dan berhibur. Habis kalau tak menyanyi nak makan apa? Siapa nak beri makan anak bini dan tanggung persekolahan?

“Walaupun masih teruskan kehidupan seperti biasa, tapi jiwa kami tetap bersama rakyat Palestin. Tak perlu tunggu konsert untuk tunjukkan solidariti. Konsert adalah punca kami cari makan. Bagi menunjukkan solidariti, Wings akan menganjurkan satu konvoi ke sebuah negeri antara 13 hingga 15 November ini,” katanya.

Dalam pada itu, Awie turut berterima kasih kepada sokongan berterusan terhadap Wings yang diberikan peminat.

Walaupun sering membuat persembahan dan mengadakan konsert, namun peminat tegar band rock popular berusia 38 tahun ini tetap setia.

Yang pastinya, penganjuran ini bagi mengotakan janji Awie bersama Eddie (bass), Black (dram), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) bagi menghiburkan peminat golongan pertengahan dengan harga mampu milik.

“Alhamdulillah saya sendiri selaku penyanyi sudah mula kembali aktif bersenam dan beriadah bagi mengekalkan stamina untuk memberikan yang terbaik buat peminat. Saya ingin terus mengekalkan kecergasan dan kesihatan berpanjangan.

“Saya tidak mahu menjanjikan bulan bintang, namun ini juga sebagai penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya kami. Lebih menarik, tiket juga ‘harga rahmah’ yang mana konsert ini bakal menjadi penutup konsert Wings untuk tahun ini di Semenanjung.

“Harga tiket sangat berpatutan yang kami mahu peminat melompat dan menyanyi bersama-sama kami dengan pemilihan lagu yang lebih keras,” katanya.

Mengenai pemilihan lokasi di Stadium Malawati Shah Alam, Wings akan beraksi di stadium yang boleh memuatkan 8,000 penonton.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *