Kuala Lumpur: Anak kepada pelawak dan penyampai radio, Issey, Faeeq Fathian, 2, masih lagi terimbau dan sedikit trauma selepas insiden nyaris dilanggar kereta yang mengundur laju di sebuah kedai menjual barangan haiwan peliharaan di Puncak Alam, baru-baru ini. -Advertisement-
Walaupun sudah hampir dua minggu selepas insiden itu berlaku, Issey berkata, ada ketikanya anaknya masih lagi menyebut mengenai kejadian itu.
“Alhamdulillah, anak saya dah semakin okay. Cumanya, bila isteri bawa dia ke kedai sama untuk membeli barangan keperluan kucing, dia akan teringat balik dan macam takut sedikit.
“Lagi satu, kalau kami menonton filem di rumah pun, kalau ada babak-babak membabitkan kemalangan kereta atau dia akan pandang saya dan sebut, ‘boooom!! boooom!!’. Mungkin dia teringat semula,” katanya kepada Harian Metro.
Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin berkata, dia dan isterinya cuba membantu menaikkan semula semangat anak mereka.
“Isteri saya pun sebenarnya masih trauma sebab dia pun berada di lokasi kejadian. Saya bantu untuk kembalikan semangat Faeeq. Bila tengok dia diam saja, saya cuba gembirakan dia dan cuba tak nak bagi dia terlalu fikirkan tragedi itu,” katanya.
Issey juga memaklumkan, dia menerima permohonan maaf daripada wakil keluarga pemilik kenderaan itu dan menjadikan insiden itu sebagai pengajaran, kerana apa yang berlaku adalah di luar jangkaan.
“Wakil dari keluarga pemandu dan pemilik kenderaan itu ada menghubungi saya dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Saya beritahu, saya maafkan saja. Namun, saya jadikan pengajaran supaya perkara sebegitu tidak berulang lagi,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai video kamera litat tertutup (CCTV) memaparkan sebuah kereta melanggar seorang kanak-kanak dan pintu hadapan sebuah premis yang tular di media sosial.
Issey ditemui di sidang media Pantai Timur Food Festival yang anjuran Mek Noor Nasi Dagang.
Festival yang akan berlangsung pada 29 Spetember hingga 1 Oktober di Anjung Floria Presint 4, Putrajaya itu akan mengumpulkan hampir 100 gerai jualan juadah dari negeri-negeri Pantai Timur.
kreadit : hmetro.com