Norlida Ahmad atau lebih dikenali sebagai Connie.
Kuala Lumpur: “Ummi saya, Alhamdulillah dalam keadaan sedar. Tapi, keadaannya masih lemah dan menahan sakit pinggang sebelah kiri. Dia belum boleh bangun dan duduk pun sekejap saja,” kata Ally Marisha Afrina Abdullah, 24.
Ally yang juga anak tunggal pelakon era 1980-an, Connie atau nama sebenarnya, Norlida Ahmad, 64, dihubungi berkata, keadaan terkini kesihatan ibunya masih tiada sebarang perubahan.
“Buat masa sekarang tiada apa-apa perubahan. Esok atau lusa, baru nak dibuat pemeriksaan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) oleh pihak hospital dan dapatlah keputusannya.
“Insya-Allah, saya akan kongsikan keputusan pemeriksaan itu dan perkembangan Ummi. Mohon doakan kesihatan Ummi saya akan pulih dan dia sembuh semula,” katanya kepada Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp.
Terdahulu, penggiat seni berkongsi berita sedih mengenai Connie yang dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban kerana mengalami masalah buah pinggang bernanah dan jangkitan kuman pada paru-paru serta darah sejak seminggu lalu.
Sebelum ini, Ally turut memaklumkan keadaan ibunya yang menerima rawatan di wad biasa HTJ, masih sangat lemah kerana tiada selera makan dan dalam kesakitan.
Difahamkan juga dengan keadaan kesihatannya itu, doktor tidak menggalakkan untuk Connie menerima pelawat kerana masih berada dalam pemantauan.
Connie pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, kerana tekanan darah rendah dan jangkitan kuman di buah pinggang pada 2018 lalu.
Pernah mencipta nama antara pelakon wanita popular pada era 1980-an, antara filem lakonan Connie ialah Tujuh Biang Keladi, Bujang Lapok Kembali Daa, Suara Kekasih, Guru Badul dan Sumpahan Mahsuri.
Connie yang mula berlakon pada 1984 dan berasal dari ibu kota, pernah memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1989 dan Pelakon Pembantu Filem Popular di ABPBH 1990.
kreadit : hmetro.com