Kuala Lumpur: Pengguna akaun media sosial, John Dihani yang mahu disaman oleh pelawak dan penyampai radio, Shuib tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di Instagram
Individu terbabit yang turut memfitnah Shuib, menyatakan keinginannya untuk bertemu bapa empat anak itu bagi mengakui kesilapan dan membuat pemohonan maaf bersemuka.
Menerusi perkongsian di Instagram itu, John Dihani mengaku kesilapannya memuat naik sebuah poster iklan barang kemas yang membawa kepada bermula tercetusnya fitnah terhadap Shuib.
“Saya John Dihani dengan rendah hati dan penuh penyesalan di atas khilaf yang saya lakukan. Dengan ini ingin membuat permohonan maaf terbuka kepada Shuib dengan penuh ikhlas.
“Berikutan posting (hantaran) saya pada 30.6.2023 dengan memuat naik gambar poster iklan barang kemas yang memaparkan wajah Shuib.
“Disebabkan hantaran di instagram itu, ramai yang meninggalkan komen. Tindakan saya mengiyakan komen ditinggalkan pengguna lain pada hantaran itu sehingga menjerumus dan membawa kepada fitnah Shuib dan arwah isterinya, Siti Sarah,” tulisnya.
John Dihani juga memaklumkan hantaran yang dikongsikannya diambil dari akaun Facebook orang lain. Jelasnya, dia juga tidak memikirkkan kesan dan akibat daripada perkongsian tidak berasas yang dibuat itu kepada Shuib dan keluarga.
“Jauh dan ikhlas di sudut hati, saya menyesali tindakan saya berkongsi hantaran yang saya ambil dari akaun Facebook orang lain tanpa memikirkkan kesan dan akibat daripada perkongsian itu pada Shuib sekeluarga,” tulisnya.
Sementara itu, Shuib, 39, pada pertemuan dengan individu yang memfitnahnya dikenali Zulhairi Abu Othman,35, hari ini, pula menegaskan tetap membawa pemilik akaun John Dihani ke muka pengadilan sekalipun individu itu bertindak memohon maaf secara terbuka kepadanya.
“Saya hanya ingin bersemuka dan menyelesaikan isu itu dengannya di mahkamah saja. Sebarang perbincangan boleh dibuat melalui peguam dan surat pun sudah dihantar kepadanya.
“Dia (John Dihani) ada menghantar mesej langsung kepada saya semalam untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, tapi saya buat keputusan tidak mahu berjumpa dengannya kerana cara dia sangat berlagak.
“Sedangkan saya tidak kenal dia dan tidak pernah mengusik keluarganya. Jika dia merasakan dirinya hebat sangat. Bolehlah jumpa saya di mahkamah,” katanya dihadapan pengamal media.
Shuib juga mengingatkan masyarakat di luar agar sentiasa berhati-hati ketika membuat perkongsian dan menulis komen di media sosial.
Katanya, perlu bijak mengawal emosi supaya apa dikongsikan dan ditulis itu tidak menjurus fitnah ke atas orang lain.
Kredit: Harian Metro