Kuala Kubu Bharu: Pelakon, Hafidz Roshdi tiba di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di sini untuk sebutan semula kes pertuduhan mencederakan bekas  isterinya, sebentar tadi.

Beliau dilihat tiba di mahkamah pada jam 9 pagi sebelum masuk ke kompleks mahkamah diiringi dua peguam.

“Alhamdulillah…okey sahaja. Semuanya baik-baik saja” katanya kepada pengamal media disamping peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Terdahulu, pelakon berusia 29 tahun ini didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, pada 13 Mac lalu terhadap pertuduhan sama. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah. 

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret memerintahkan pelakon terbabit dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.

Beliau membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Hafidz sudah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia pada 30 Mac dan semasa ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 9 Mei lalu berkenaan lafaz cerai di luar mahkamah, memaklumkan keputusan kesihatan mentalnya disahkan dalam keadaan baik. 

Berdasarkan pertuduhan, pada 2 Mac lalu, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dengan cara menumbuk menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri pada 2 Mac lalu. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini, jam 3.30 pagi. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *