ZAHIRAH Macwilson anggap kehadiran artis baharu dapat memeriahkan industri hiburan.
PELAKON popular, Zahirah Macwilson, 28, mengakui dirinya tidak tergugat dengan kemunculan ramai artis baharu dan pempengaruh media sosial ketika ini.
Menurut pelakon dikenali menerusi Drama Jangan Benci Cintaku ini, dia juga melihat kemunculan mereka sesuatu yang positif untuk merancakkan lagi industri seni tanah air.
“Saya tidak cemburu mahupun tergugat dengan kehadiran mereka.
“Sebagai artis yang berpengalaman, saya juga mahu memberi peluang dan ruang kepada artis baru dan pempengaruh media sosial untuk mencari tapak dalam bidang lakonan,” katanya kepada Harian Metro.
Zahirah ditemui pada sesi Meet & Greet, di reruai, Siri TontonOriginal : Drama Sangat sempena Karnival Jom Heboh, Selangor Generasi Muda di Dataran Shah Alam.
Zahirah juga hadir untuk mempromosikan siri Tonton Original: Metro Crime Series lakonannya.
Dia yang sudah lapan tahun berlakon, berkata, dia juga bermula sebagai artis baharu sebelum berada pada tahap sekarang.
“Saya mula berlakon pada usia 20 tahun dan ‘kayu’ juga ketika mula terbabit dalam bidang lakonan.
“Apa yang penting, artis baru atau pempengaruh media sosial itu sanggup belajar dan serius untuk mencari tapak dalam bidang lakonan,” katanya.
Mengenai lakonan pula, kata Zahirah, dia juga sudah kembali aktif berlakon dan anaknya, Isaac Raees, juga sudah berusia dua tahun.
“Saya masih dapat tawaran berlakon termasuk watak utama cuma mungkin kerana banyak terbabit dalam projek lakonan menerusi platform digital dan online, orang tidak nampak wajah di TV.
“Saya juga lebih selektif dari segi watak dan mahukan watak yang lebih mencabar dalam filem genre aksi atau cerita dari inspirasi kisah benar,” katanya.
Ditanya perancangan masa depan pula, dia dan suami juga pelakon Aiman Hakim Ridza juga merancang untuk menjadi penerbit pula pada masa depan.
“Kami sudah sampai satu tahap tidak lagi kejar glamor dan populariti sebaliknya mahu menceburi bisnes dan bergelar penerbit pula.
“Produksi itu sudah ada cuma belum mulakan projek sahaja lagi.” katanya.
kredit : hmetro.com.my